KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat melawat Bazar Ramadan Arena Square, dekat sini, pada Sabtu.
Ketibaan baginda berdua pada jam 5 petang itu disambut Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Muhammad Nazri Abdullah serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Dr Sakduddin Zamli.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan beramah mesra dan bertanya khabar dengan 1,000 peniaga serta pengunjung di bazar berkenaan.
Dalam kunjungan kira-kira 30 minit itu, baginda berdua berkenan membeli juadah berbuka puasa antaranya, daging harimau menangis, martabak, kuih-muih, dan minuman.
Peniaga dan pengunjung yang hadir juga tidak melepaskan peluang untuk merakam detik berharga itu dengan mengambil gambar dan merakam video kebarangkatan baginda berdua melalui telefon pintar masing-masing.
Bazar Ramadan Arena Square yang merupakan bazar terbesar di daerah itu menempatkan 242 lot gerai yang menawarkan pelbagai juadah serta minuman untuk berbuka puasa.
Sultan Perak dan Raja Permaisuri dijadual akan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa dan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih Berjemaah di Istana Iskandariah, dekat sini pada sebelah malam. -MG Perak
Artikel Berkaitan: