BAGAN DATUK – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMSN) di sini, pada Khamis.
Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.
Ketibaan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kira-kira jam 11 pagi disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran dan doa, diikuti sembah ucapan Zambry serta Ahmad Zahid.
Baginda kemudiannya melafazkan pemasyhuran diikuti dengan gimik pemasyhuran serta menandatangani plak.
Kemudian majlis diteruskan dengan tayangan montaj sebelum baginda melawat ke tapak pameran berkaitan pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan teknologi maritim.
PMSN atau sebelum ini dikenali sebagai Politeknik Bagan Datuk adalah politeknik ke-35 negara yang ditubuhkan pada Disember 2016.
Pengambilan sulung tahun 2017 melalui Diploma Seni Bina Kapal menjadikannya satu-satunya politeknik TVET yang memfokuskan maritim dan perkapalan.
Politeknik ini dibina di atas tanah seluas 12.14 hektar dan dibangunkan dengan kos bernilai RM175 juta siap sepenuhnya pada tahun 2023.
Setakat ini, seramai 1,200 orang pelajar sedang melanjutkan pengajian di politeknik tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemerkasaan huffaz melalui TVET beri peluang lebih baik


