KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat berjumlah RM5,417,188.56 juta daripada lapan syarikat korporat dan dua individu kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) dalam Majlis Penyerahan Zakat dan Berbuka Puasa di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, di sini malam tadi.
Penyerahan zakat didahului oleh Datuk Abdullah Abdul Mannan yang menunaikan zakat pendapatan berjumlah RM1 juta disusuli Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) berjumlah RM364,852.56 diwakili Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Seterusnya, zakat perniagaan diserahkan Belati diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki, Mohamad Akmal Johari berjumlah RM380,000.
Selain itu, Boustead Plantations Berhad yang diwakili Pengarah Urusan, Datuk Zulkarnain Md Eusope menyerahkan zakat berjumlah RM434,000.
Kemudian, penyerahan zakat diserahkan CelcomDigi Berhad, diwakili Ketua Wilayah Utara, Farizad Khan Msm Mohamed Ali berjumlah RM107,000.
Seterusnya, Johawaki Plantation Sdn Bhd menyerahkan zakat berjumlah RM150,800 yang di wakili Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Johawaki, Abdul Hadi Abdul Rahim.
Lembaga Jurukur Tanah Malaysia turut menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM250,000 melalui Setiausahanya, Mohd Riza Halim manakala Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM200,000 diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Mastura Mohd Khalid.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pula menunaikan zakat pendapatan berjumlah RM2.3 juta, manakala TM Technology Services Sdn Bhd menerusi wakilnya Sallehuddin Khalif menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM230,536.
Pada majlis berkenaan, baginda berkenan menyerahkan zakat kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut kenyataan ZAPAR, zakat adalah manifestasi ketaatan kepada perintah Allah SWT bagi menyucikan harta dan jiwa, di samping mengukuhkan ukhuwah Islamiah.
“ZAPAR akan terus komited menguruskan hasil kutipan zakat terutama untuk menyumbang kepada kestabilan sosial, memperkukuh tadbir urus Islam serta melengkapi usaha pembangunan sosioekonomi negeri secara menyeluruh,“ ujar kenyataan itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Perak terima bayaran zakat RM7.87 juta daripada tujuh syarikat korporat


