Sungai Perak Biru: Lombong wajib rawat air sebelum dilepaskan

IPOH – Syarikat perlombongan tidak sewenang-wenangnya boleh melepaskan air sisa akiviti melombong terus ke sungai ekoran tertakluk kepada kawal selia serta syarat yang ditetapkan di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak berkata, setiap operasi perlombongan hasil bumi perlu mematuhi syarat ketat termasuk berkaitan pengurusan dan pelepasan air sisa daripada kawasan perlombongan.

Menurut beliau, secara asasnya aktiviti perlombongan perlu menggunakan sistem litar tertutup yang membolehkan air digunakan semula dalam operasi dan bukan terus dilepaskan ke sungai.

Tambah beliau sekiranya terdapat keperluan tertentu untuk melepaskan air daripada kawasan perlombongan, air tersebut perlu menjalani rawatan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk ke sungai.

“Kalau hendak dilepaskan air sisa perlombongan atas sebab-sebab yang tertentu ia mesti dirawat dahulu kerana air itu memang mengandungi asid.

“Sifatnya adalah pH rendah dan mengandungi kandungan logam yang tinggi jadi mesti dirawat dahulu mengikut Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Nizarulikram Abdul Rahim ketika sesi penerangan punca Sungai Perak bertukar biru di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 OGOS 2026.

Beliau berkata demikian ketika mengulas fenomena air Sungai Perak bertukar warna kebiruan di Hulu Perak dalam beberapa siri kejadian yang dilaporkan sebelum ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa pelepasan air oleh sesebuah lombong tidak bermaksud aktiviti tersebut boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa kawalan.

Katanya, pihak JMG sentiasa menjalankan pemantauan termasuk melalui lawatan mengejut selain menerima data daripada pihak pengusaha lombong.

Beliau berkata, tindakan penggantungan operasi boleh dikenakan sekiranya pihak lombong didapati tidak mematuhi syarat pelepasan yang ditetapkan.

Jelasnya, tindakan itu telah dikenakan terhadap Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd. (RHT) selepas pemeriksaan mendapati berlaku pelepasan air ke sungai yang tidak dirawat. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI