SVTP bakal bawa masuk pelaburan RM14 bilion ke Perak

IPOH – Pembangunan projek Silver Valley Technology Park (SVTP) di atas tanah seluas 330.2 hektar yang terletak antara Taman Perindustrian Kanthan dan Bandar Meru Raya bakal membawa pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik berjumlah RM14 bilion.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata projek pembangunan berskala besar itu mampu menyediakan 13,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat di negeri ini.

Menurutnya, projek pembangunan tersebut dijangka akan siap sepenuhnya antara tempoh lima hingga 10 tahun.

“Projek membabitkan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan anak syarikatnya Perak Corporation Berhad (Perak Corp) bersama rakan strategik, Advancecon Holdings Berhad (Advancecon) bagi membangunkan SVTP dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.03 bilion.

“Melalui pemeteraian perjanjian usahasama itu, ketiga-tiga pihak akan menggabungkan sumber, kepakaran, kemahiran, pengetahuan, dan keupayaan dalam pembangunan SVTP.

“Pembangunan SVTP mendapat kerjasama strategik daripada AdvanceCon Holdings Berhad yang merupakan syarikat pakar kerja tanah dan kejuruteraan selain mempunyai pengalaman luas selama lebih 30 tahun dalam membangunkan beberapa projek berskala besar.

“SVTP yang terletak di lokasi strategik sudah pun mempunyai ekosistem sokongan termasuk kedudukannya yang berdekatan dengan kemudahan asas sedia ada yang turut memberikan nilai tambah dalam menarik pelabur.

SVTP bakal bawa masuk pelaburan RM14 bilion ke Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melihat pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif AdvanceCon Holdings Berhad, Datuk Phum Ang Kia dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perak Corporation Berhad, Rosmin Mohamed pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Usaha Sama Silver Valley Technology Park (SVTP) di Hotel Casuarina Meru, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 JANUARI 2024.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis pemeterian perjanjian usaha sama SVTP Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak Corp, Rosmin Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Advancecon, Datuk Phum Ang Kia.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Exco Komunikasi, Multimedia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi dan Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Teh Kok Lim.

Dalam pada itu, Redza Rafiq berkata bentuk pelaburan yang disasarkan di kawasan SVTP bertumpu kepada industri pemprosesan bahan mineral bagi kegunaan seperti dalam bidang penghasilan elektrik dan elektronik (E&E) termasuk mineral bagi teknologi pembuatan peranti solar.

“Memandangkan Perak mempunyai kekuatan dari segi galian mineral, dekat situ kita boleh lihat kepada rantaian nilai yang berkaitan seperti E&E, peranti perubatan.

“Daripada set skil kejuruteraan di situ juga kita boleh lencongkan ke ekonomi digital, farmaseutikal, dan pemprosesan komponen solar,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak lancar Pelan Perindustrian, sasar nilai pelaburan RM47 bilion

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI