IPOH – Sebuah syarikat pengeluar bahan kimia terbesar dari Belgium, Kumpulan Lhoist, bersedia untuk melabur sebanyak RM250 juta bagi membangunkan kemudahan pengeluaran berteknologi tinggi di Perak.
Pembangunan kemudahan tersebut dijangka meningkatkan pengeluaran produk kapur tohor dan kapur pertanian bagi memenuhi permintaan pasaran global dalam tempoh tiga tahun bermula pada tahun ini.
Pelaburan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lhoist, Marcos Franco semasa lawatan rasmi dan pertemuan bersama delegasi Kerajaan Negeri Perak yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad semasa rangka lawatan kerja di Brussels, Belgium, pada Rabu.
Pusat Pengurusan Pelaburan Perak (InvestPerak) dalam satu kenyataan memberitahu, Saarani berkata, pelaburan tersebut mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Perak sebagai hab serantau bagi industri kimia berasaskan mineral.
“Perak dikurniakan sumber bahan mentah dan mineral yang melimpah. Pelaburan baru itu membuktikan bagaimana kita boleh memanfaatkan sumber ini untuk menjana ekonomi bernilai tinggi.
“Menerusi penghasilan produk kimia khas menggunakan bahan mentah dan mineral tempatan, Lhoist bukan sahaja memperkukuh rantaian nilai ekonomi di Perak, malah turut menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak, Mohamad Hashim Abdul Ghani berkata, projek itu bakal menjadi pemangkin penting dalam kemajuan sektor perindustrian Negeri Perak
Kata beliau, melalui teknologi mampan berteknologi tinggi, perkembangan itu menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan pembuatan bernilai tinggi/
“InvestPerak berbangga menjadi pemudah cara kepada inisiatif strategik ini, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju pengeluar bahan kimia berteknologi tinggi di rantau ASEAN,” ujarnya.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Duta Besar Malaysia ke Belgium merangkap Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Frankfurt, Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
InvestPerak, Sinopont meterai perjanjian pelaburan RM2 bilion