IPOH – Perak sedang berusaha menarik kehadiran ramai pelancong dari Negara Hong Kong bagi merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Perak 2024.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, kerjasama dengan para pemain industri pelancongan dari negara berkenaan sedang dijalankan bagi merealisasikan usaha itu.
Menurutnya, antara sebab Hong Kong menjadi sasaran bagi memperkasakan industri pelancongan negeri adalah kerana jenama dan nama Bandar Raya Ipoh itu sendiri cukup dikenali di sana.
“Ramai pelakon dan penyanyi berbangsa Cina yang berasal dari Perak telah menempah nama di Hong Kong. Malah ada penyanyi-penyanyi terkenal dari Hong Kong pernah mengadakan konsert di Ipoh satu masa dahulu.
“Di samping itu, sebagian besar masyarakat Cina di Hong Kong dan di Perak adalah daripada rumpun sama, yang mana ia dapat dilihat melalui penggunaan dialek Kantonis.
“Ini secara tidak langsung memudahkan mereka untuk berbahasa apabila melawat ke Ipoh dan Perak amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sesi Jaringan dan Pemadanan Perniagaan bersempa dengan ‘Familiarization Trip’ Tourism Malaysia, di Hotel Weil, dekat sini, pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa Asia dan Afrika Tourism Malaysia, Nuwal Fadhilah Ku Azmi serta Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Program berkenaan turut disertai 17 delegasi pemain industri pelancongan Hong Kong termasuk pemandu pelancong.
Mengulas lanjut Sze Yee memberitahu, setakat ini tiada sasaran kehadiran pelancong dari Hong Kong ke Perak yang diletakkan kerana ia adalah usaha berterusan.
“Kita tidak meletakkan sasaran kerana kita masih lagi mahu mengetahui manakah antara pakej-pakej pelancongan yang mereka minati di Perak ini. Mungkin ada minat dari segi budaya, makanan, atau keindahan alam semula jadi.
“Ia seperti ‘try and error’. Mana-mana pakej pelancongan yang mereka minat, kita akan kurangkan promosi dan mana yang sebaliknya, kita akan giatkan promosi pakej pelancongannya,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata selepas ini Perak menyasarkan kehadiran pelancong dari Indonesia ke Perak susulan pengoperasian Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang dalam tempoh terdekat.
“Kita meletakkan sasaran khususnya kepada mereka yang berada di Medan kerana laluan terminal feri itu menghubungkan Medan dan Bagan Datuk di Perak.
“Untuk itu, kita juga merancang mengadakan inisiatif ‘familiarization trip’ untuk turut sama menarik kehadiran pemain industri pelancongan di sana ke negeri ini,” ujarnya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pulau Orang Utan Bukit Merah Gamit Pelancong
MGPerak: Lebih 150 Acara Disenaraikan Sepanjang Tahun Melawat Perak