IPOH – Sebanyak 29,310 permohonan kemasukan murid Tahun Satu direkodkan di negeri Perak setakat 31 Mac lalu, melibatkan kohort murid berusia enam dan tujuh tahun untuk sesi akademik 2027.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, daripada jumlah itu, 4,283 murid bagi murid berusia enam tahun dengan Kinta Utara mencatatkan permohonan tertinggi dengan 1,595 orang.
“Daripada keseluruhan itu, bagi kemasukan murid untuk sesi akademik tahun hadapan yang berumur tujuh tahun pula seramai 25,027 orang.
“Berdasarkan kepada unjuran daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kapasiti penempatan murid Tahun Satu adalah sebanyak 49,499 tempat. Ini bermakna masih terdapat 19,000 penempatan yang masih belum diisi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rosli Abd Rahman (PN-Pasir Panjang) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Jumaat.
Khairudin berkata, pertambahan jumlah kemasukan Tahun Satu di Perak dijangka akan bertambah selepas permohonan dalam talian yang ditutup sementara akan dibuka semula bermula 1 Mei hingga 15 November depan.
“Ditegaskan bahawa negeri Perak masih mampu menampung kemasukan murid walaupun melibatkan dua kohort umur.
“Saya mengharapkan agar perkara ini jangan dijadikan bimbang, sesak dan sebagainya sebab dari segi data kita masih mampu untuk menerima kemasukan murid,” jelas beliau.
Pada masa sama beliau berkata, negeri akan mengoptimumkan penggunaan 411 sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi kesediaan kemasukan murid Tahun Satu pada tahun hadapan.
Khairudin memberitahu, selain pembinaan Kabin Modul Ringkas Sementara, inisiatif ini juga akan melibatkan penukaran fungsi bilik darjah khas di 159 buah sekolah.
“Selain daripada itu, pengambilan 20,000 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 baharu akan dilantik secara Contract of Service (CoS) bagi memenuhi keperluan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tahun satu enam tahun: Kerajaan perlu lihat ketersedian pelajar – Exco


