‘Tak kenal, maka tak cinta’, Norsiyenti tekad majukan pertanian di Perak

MENYAMBUNG pelajaran dalam bidang pertanian sekitar 90an bukanlah sesuatu yang membanggakan ekoran persepsi masyarakat ketika itu terhadap sektor berkenaan.

Maka tidak hairan jika ada dalam kalangan anak muda yang ditawar menyambung pengajian dalam bidang tersebut menolak mahupun terpaksa menerimanya.

Situasi berkenaan pernah dihadapai Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman, apabila ditawar menyambung pengajian ke Universiti Pertanian Malaysia pada 1996.

Namun semua itu berubah selepas anak kelahiran Parit, Perak itu menjadi mahasiswi Fakulti Pertanian dan seterusnya bekerja dalam bidang berkenaan.

Ia saling tidak tumpah seperti gambaran peribahasa ‘tak kenal maka tak cinta’ sehingga beliau berjaya menjawat jawatan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak.

Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Norsiyenti berkata, selepas menamatkan tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, Parit dia kemudian menjadi guru di Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah, Ipoh.

“Selepas setahun lebih saya di situ saya melanjutkan pelajaran ke UPM dan di UPM sebenarnya saya memohon Ijazah Psikologi sebenarnya, kaunseling.

Temubual Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman di Joe Jalil Galeria, Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Saya lewat masuk setahunlah tetapi percaturan Allah tu lebih baik kerana saya tidak dapat apa yang saya mohon iaitu kaunseling tetapi saya dapat Ijazah Sarjana Muda Sains Bioindustri atau pada waktu itu Sains Pertanian,” katanya.

Jelasnya, beliau bagaimanapun tidak bergembira apabil ditawarkan bidang berkenaan memandangkan persepsi masyarakat ketika itu terhadap bidang pertanian.

“Terus terang saya cakap perasaan pertama bila saya melihat Fakulti Pertanian di UPM saya rasa kecewa dan malu pada peringkat awal sebab pertanian pada tahun 1996 hingga 2000 bukanlah satu industri yang orang suka atau bangga.

“Kalau dulu pertanian ini sesuatu yang kita segan nak akui kita adalah petani, usahawan tani dan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pertanian,” katanya.

Namun beliau berkata, situasi berkenaan berbeza dengan sekarang malah bidang pertanian diangkat sebagai satu profesionalisma dalam kalangan masyarakat.

“Bukan macam sekarang kita boleh lihat ramai petani kita ada PhD, ada Sarjana, ada Ijazah Sarjana Muda dan saya sendiri ramai usahawan saya, petani saya, ada semua kelulusan berkenaan,” katanya.

Katanya, selepas menamatkan pengajian beliau kemudiannya ditawarkan bekerja sebagai Pegawai Tadbir Akademik di Fakulti Pertanian UPM dan kemudian membuat keputusan memasuki skim Pegawai Pertanian di Jabatan Pertanian pada 2001.

“Bila saya masuk Jabatan Pertanian, saya ditempatkan di Institut Pertanian dan juga menjawat jawatan Pegawai Pertanian merangkap pensyarah di Institut Pertanian Titi Gantung selama lapan tahun.

Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman melihat tanaman yang ditanam melalui kaedah fertigasi di Joe Jalil Galeria, Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Saya kemudian ditempatkan di beberapa jabatan seperti bahagian biosekuriti tumbuhan, menjadi Pengarah di Institut Pertanian Titi Gantung, dipinjamkan ke kementerian sebagai pengarah IADA Seberang Perak selama dua tahun lebih.

“Alhamdulillah pada 2019 saya ditawarkan kenaikan pangkat ke Jabatan Pertanian Negeri Perak sebagai Pengarah Pertanian Negeri bermula pada penghujung 2019,” katanya.

Terlibat dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 sejak awal

Umum mengetahui Pelan Perak Sejahtera 2030 yang merupakan idea cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meletakkan keterjaminan makanan sebagai agenda utama.

Bagi merealisasikan pelan berkenaan kerajaan negeri menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak dari mula sehingga kini.

Menurut Norseyenti beliau merupakan antara individu awal yang terlibat sebelum Menteri Besar Perak mengumumkan serta melancaran Pelan Perak Sejahtera 2030.

Katanya, beliau bersama kakitangan Jabatan Pertanian Negeri Perak turut bersama dengan Saarani ketika melakukan siri jelajah ke seluruh negeri bagi bertemu dengan rakyat serta petani.

Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman melihat pelbagai jenis sayur-sayuran kaedah tanaman hidroponik di Masjid Al Lattifiyah Kampung Loh, Karai, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Disitulah kita ambil cadangan, idea, input daripada rakyat Perak untuk kita wujudkan kerangka Perak Sejahtera.

“Macam yang orang Perak tahu dan selalu dengar Perak Sejahtera ini merupakan pelan tindakan negeri untuk mencapai negeri yang sejahtera dan makmur.

“Jadi apabila diwujudkan Pelan Perak Sejahtera 2030, ada enam agenda utama dan sekuriti makanan merupakan flagship pertama, dia tidak duduk nombor dua atau tiga,” katanya.

Norsiyenti turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak bersama Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menyokong agenda sekuriti makanan terutamanya dari Jabatan Pertanian.

“Bila menjadi agenda pertama sudah pasti tanggungjawab itu berat kepada kami kerana pengeluaran makanan itu berada di Jabatan Pertanian.

“Kami sudah empat tahun iaitu setahun awal di mana kita merangka strategi jangka masa panjang, sederhana dan pendek dan yang paling utama adalah pembangunan modal insan pegawai serta petani.

Norsiyenti berkata apa yang dilakukan Jabatan Pertanian setrusnya adalah memberi ilmu kepada golongan petani di manaaoabila mereka mempunyai ilmu hasil tanaman akan bertambah.

“Seterusnya antara program yang rancang untuk kita sokong agenda sekuriti makanan adalah kita melaksanakan program-program pembangunan pertanian atau dalam bahasa senangnya bantuan-bantuan projek-projek pertanian kepada petani.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menggoreng kuih peneram ketika melawat reruai Program Riang Ria Raya Promosi dan Jualan Produk Industri Asas Tani (IAT), Jabatan Pertanian Negeri Perak 2024 di Padang Bangunan Seri Perak Darul Ridzuan. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Kita bangunkan dan kita letakkan duit itu ikut prioriti. Sebagai contoh, cili kita tak capai 100 peratus lagi tahap sara diri negeri Perak.

“Kita juga wujudkan projek pembangunan pertanian selaras dengan titah Sultan Perak di bawah Brigade Muda Petani Moden,” katanya.

419 program sepanjang 2024 buat petani dan usahawan tani

Mengulas lanjut Norsiyenti berkata, bagi memastikan kejayaan Pelan Perak Sejahtera 2030, Jabatan Pertanian Negeri Perak mengadakan pelbagai program setiap tahun terutama sekali melibatkan modal insan.

“Benda pertama saya sebut tadi adalah modal insan dan antara projek jabatan setiap tahun, saban tahun adalah membangunkan modal insan itu sendiri, membangunkan petani itu sendiri termasuk dengan pegawai.

“Program modal insan ini merupakan kursus-kursus, latihan-latihan yang kita gariskan setiap tahun dan jabatan menyediakan latihan secara percuma sebab.

“Meskipun ada orang luar mahu berkolaborasi kita terpaksa menolak kerana mereka mengenakan bayaran sedangkan kita agensi kerajaan, kita memberi khidmat, sumbangan secara percuma,” katanya.

Tambahnya lagi, pada 2024 sebanyak 419 kursus telah dijalankan Jabatan Pertanian Negeri Perak buat petani dan usahawan tani yang ada di negeri ini.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim (dua, kiri) menyampaikan replika cek kepada penerima peruntukan persekutuan Program Pembangunan Buah Jangka Panjang pada Majlis Perasmian Karnival Agro Jabatan Pertanian Daerah Larut Matang dan Selama Tahun 2025 di perkarangan Pejabat Pertanian Daerah Larut, Matang dan Selama, Taiping, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Jelasnya, lagi bagi tahun 2023 pula sebanyak 450 kursus dilaksanakan dan jumlah berkenaan melebihi daripada jumlah hari yang ada dalam setahun.

“Kenapa penting semua kursus dan latihan ini adalah kerana bila kita mahu bangunkan sesuatu kena ada ilmu, baru kita boleh menanam dan mendapatkan hasil.

“Jadi untuk tahun lepas sahaja kita anjurkan 419 kursus yang mana melibatkan 7,396 orang.

“Jadi kita boleh lihat sumbangan Jabatan Pertanian Negeri Perak kepada rakyat negeri ini sebenarnya sangat banyak dan luas,” katanya.

Mahu Jabatan Pertanian terus menyumbang kepada kejayaan Perak Sejahtera 2030

Ditanya mengenai kejayaan serta usaha yang boleh dikongsikan Norsiyenti berkata, ia bukanlah kerja keras beliau semata-mata tetapi melibatkan sokongan semua pihak termasuklah kakitangan Jabatan Pertanian Negeri Perak serta golongan petani dan usahawan tani negeri.

“Saya lihat antara kejayaan jabatan selama dalam tempoh lima tahun ini kita banyak berusaha bersama petani kita untuk pastikan pengeluaran makanan kita meningkat dan banyak.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun (dua, kiri) menyampaikan sijil penghargaan dan plak kepada penerima pada Hari Anugerah Pengembangan Jabatan Pertanian Negeri Perak Tahun 2025 di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Saya sendiri setiap tahun menyantuni lebih 100 orang petani dan melawat 60 ladang setahun bdrsama program-program yang kami laksanakan,” katanya.

Beliau turut berkongsi harapan agar Jabatan Pertanian Negeri Perak sentiasa dipandang, disokong dan diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin yang ada dalam konteks sokongan kehadiran mahupun kewangan yang diperlukan jabatan.

“Saya mengharapkan agar sokongan ini berterusan dengan bajet-bajet berterusan supaya kita boleh memantapkan lagi sektor tanaman makanan di negeri Perak.

“Yang terakhir sekali saya juga mengharapkan supaya Jabatan Pertanian terus-menerus bersinar relevan menjadi satu-satunya jabatan teknikal di bawah kementerian yang menyumbang kepada pengeluaran makanan dan sentiasa kekal relevan walaupun telah berusia 120 tahu.

“Saya juga berharap warga jabatan terus-menerus menyumbang, meningkatkan kepakaran bagi membantu warga tani supaya kita boleh mencapai hasrat kita, hasrat petani dan juga hasrat Kerajaan Negeri Perak di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI