Tak sabar nak belajar, jumpa kawan baharu – adik Attar

TANJUNG MALIM – Keterujaan Attar Azim Syukran Jamil, 9, memulakan hari pertama persekolahan jelas terpancar menerusi senyuman di wajahnya ketika tiba di pintu masuk Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Trolak Utara pagi tadi.

Kanak-kanak lelaki yang mesra di sapa dengan panggilan Adik Attar itu merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kemalangan yang meragut empat ahli keluarganya di Kelantan, 2 Mac lalu.

Attar Azim dan sepupunya, Fareez Uzair, 10, tiba di sekolah sekitar jam 7.20 pagi selepas dihantar ibu saudaranya, Umi Salwa Ab Hamid, 40.

Dia yang hadir ke sekolah memakai seragam berwarna biru dan berseluar biru tua menzahirkan rasa tidak sabar untuk belajar di sekolah baharu itu.

“Saya excited (teruja) nak pergi sekolah. Saya tak sabar nak jumpa kawan-kawan dan tak sabar nak belajar,” katanya ketika ditemui di luar SK Trolak Utara, pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak Tahun Tiga itu akan bertukar sekolah dari SK Desa Pandan, Kuala Lumpur ke SK Trolak Utara, Felda Trolak Utara, Sungkai.

Sementara itu, Umi Salwa berkata, anak saudaranya kelihatan gembira sejak tinggal bersama mereka dan meluahkan keterujaannya untuk ke sekolah baharu.

Menurutnya, pagi tadi dia kejutkan Attar Azim untuk bangun sahur dan kemudian menyiapkan anak saudaranya itu untuk ke sekolah.

“Kebetulan saya kerja pada waktu petang, dapatlah bantu siapkan keperluan sekolah dia dan Fareez.

“Waktu pagi saya akan hantar dia ke sekolah cuma bila balik kalau abang (Nor Azam Ab Hamid, 45, yang bertugas sebagai Penolong Kanan di sekolah sama) tidak terlibat mesyuarat atau perkara lain, dia akan bawa balik Fareez dan Attar,” katanya.

Tak sabar nak belajar, jumpa kawan baharu - adik Attar
Attar Azim teruja untuk belajar dan berkawan di sekolah baharu. Foto ROSDALILAH ZAHARI

Dalam pada itu, Umi Salwa bersyukur kerana urusan pertukaran sekolah Attar berjalan lancar.

“Semalam, abang pergi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tapah dan selesaikan segala urusan supaya Attar dapat bersekolah.

“Alhamdulillah, segala urusan untuk pertukaran sekolah dipermudahkan. Cuma (mohon) jangan tersentuh emosi dia,” jelasnya yang memaklumkan Attar Azim ditempatkan di kelas 3 Ibnu Sina.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang 2 Mac lalu, pasangan suami isteri, Syukran Jamil Ab Hamid dan Noor Aisyah Razali, 35, manakala anak mereka, Lufya Adeena Syukran Jamil berumur setahun meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan tersebut.

Seorang lagi anak mereka Ahya Rafiqi, 6, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan.

Ketika kejadian, lima sekeluarga itu menaiki kereta jenis Perodua Myvi bersama dari arah Kota Bharu ke Gua Musang sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan March dari arah bertentangan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

22 cedera kemalangan libat bas ekspres, pacuan empat roda

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI