Tarif air Perak naik 5 sen setiap meter padu

IPOH – Kerajaan Negeri Perak mengumumkan tarif baharu air bagi penggunaan kategori domestik di Perak ditetapkan pada kadar 75 sen setiap meter padu berbanding 70 sen mulai 1 Mei depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penetapan baharu tarif air itu adalah yang pertama selepas 18 tahun apabila kali terakhir pindaan dilakukan pada tahun 2006.

Menurutnya, kenaikan 5 sen itu membabitkan penggunaan 20 meter padu sebulan manakala bagi penggunaan 21 hingga 35 meter padu ditetapkan pada kadar RM1.08, berbanding RM1.03 sebelum ini.

“Susulan kenaikan itu, Lembaga Air Perak (LAP) memberikan rebat pada kadar 40 sen setiap meter padu bagi penggunaan sehingga 10 meter padu pertama sebulan bersamaan RM4 sebulan.

“Menerusi rebat tersebut, kadar purata tarif bagi penggunaan sehingga 20 meter padu dapat dikurangkan kepada hanya 55 sen bagi setiap meter padu berbanding 75 sen sekiranya tanpa rebat.

“Kadar tarif air baharu 5 sen yang ditetapkan di negeri ini adalah jauh lebih rendah berbanding kadar purata 22 sen yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Caj minimum bagi penggunaan domestik pula adalah RM7.50 sebelum mengambil kira pemberian rebat. Setelah mengambil kira rebat, caj minimum adalah RM3.50 berbanding kadar sekarang iaitu RM3,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi LAP menjelaskan bahawa tarif baharu itu tidak akan menjejaskan program air percuma 25 meter padu sebulan untuk golongan sasar dan program air percuma 20 meter padu untuk rumah ibadat.

“Untuk pengguna bukan domestik pula, kenaikan adalah 5 sen bagi setiap meter padu penggunaan.

“Bagaimanapun kerajaan negeri telah memutuskan supaya LAP memanfaatkan sebaiknya penetapan tarif baharu itu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatannya termasuk menggantikan paip-paip lama dan menambah baik aspek penyelenggaraan,” katanya.

Saarani menjelaskan, LAP memerlukan dana mencukupi bagi membiayai program-program penambahbaikan termasuk membina loji-loji rawatan air khususnya di kawasan-kawasan pembangunan baharu.

Sebelum ini, beberapa negeri mengumumkan kadar baharu tarif air susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang meluluskan Perlaksanaan Pelarasan Kadar Bekalan Air untuk kategori domestik dan Pengenaan Caj Elektrik berkuatkuasa pada 1 Februari lalu.

Antara yang sudah mengumumkan tarif baharu bagi penggunaan domestik termasuklah Terengganu dan Melaka dengan kenaikan 16 sen setiap meter padu, Selangor (50 sen), Kelantan (23 sen), Johor (25 sen), Negeri Sembilan (16 hingga 24 sen) dan Pulau Pinang (28 sen). – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak dijangka memuktamadkan tarif air baharu minggu depan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI