Perak dijangka memuktamadkan tarif air baharu minggu depan

IPOH – Kerajaan Negeri Perak dijangka akan memuktamadkan kadar baharu tarif air pada minggu hadapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, masih ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum keputusan berkaitan perkara itu diumumkan.

Menurutnya, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Exco yang berlangsung pada Rabu.

“Kita belum memuktamadkan kadar tarif air. Memang ada kertas (Exco) itu masuk hari ini tetapi kita ada perkara yang perlu kita perhalusi.

“Jadi kita tangguh seminggu. Minggu depan kita akan buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching dan Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon.

Sebelum ini media melaporkan, Saarani memaklumkan kadar baharu tarif air di Perak dijangka diketahui awal bulan Mac.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Air Perak (LAP) memberitahu kenaikan kadar tarif air di Perak akan berlaku namun jumlahnya masih belum diputuskan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri memberi jaminan kadar kenaikan tersebut tidak akan membebankan rakyat.

Terdahulu, pada majlis tersebut, Saarani dianugerahkan pangkat Timbalan Kanan Pesuruhjaya Kehormat JBPM yang disempurnakan Nor Hisham.

Turut menerima pangkat kehormat JBPM, Ahmad Suaidi, Mohd Zaki dan Sandrea. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak umum tarif baharu air Mac depan

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI