Tarik tauliah NGO jika langgar SOP agihan kotak makanan

IPOH – Kerajaan Negeri Perak tidak teragak-agak untuk menarik balik tauliah pengagihan kotak makanan yang diberikan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekiranya mereka terbukti melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Perak berbuat demikian bagi memastikan semua NGO yang terlibat menyampaikan kotak makanan dengan amanah dan bertanggungjawab.

Justeru, beliau memaklumkan Yayasan Perak akan mengeluarkan senarai NGO yang terbabit dalam membuat agihan bagi memudahkan orang ramai mengenali mereka.

“Kerajaan negeri membuat ketetapan itu susulan beberapa Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menggunakan pelekat sendiri seolah-olah  kotak itu datangnya dari pusat khidmat berkenaan. Itu salah.

“Perkara tersebut bukan sahaja dilakukan ADUN pembangkang malah turut membabitkan ADUN kerajaan.

“Apabila ia berlaku membabitkan kedua-dua pihak, maka saya ambil keputusan untuk menarik balik kemudahan itu dan serahkan semula kepada Yayasan Perak untuk diagihkan melalui NGO yang dilantik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani menjelaskan bahawa beliau tidak kisah jika ada pihak yang marah dengan tindakan tersebut.

“Niat saya hanya satu, untuk memastikan agihan bantuan kepada rakyat susah ini dilakukan dengan betul.

“Sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab, tidak perlulah menggunakan nama parti untuk dikenali. Jika kita berkhidmat dengan baik dan penuh keikhlasan, muka kita tetapi dikenali dan diingati rakyat,” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta kepada Yayasan Bina Upaya (YBU) untuk mengedarkan kotak makanan yang dijenamakan sebagai Kotak Makanan YBU dengan pembabitan seramai 2,000 sukarelawan yang membantu mengagihkan kotak berkenaan.

Pemberian dana RM5 juta itu dihentikan apabila pentadbiran kerajaan negeri bertukar pada 2018, dan peruntukan berkenaan dipindahkan kepada Yayasan Perak untuk meneruskan agihan kotak makanan yang dinamakan Kotak Makanan Yayasan Perak.

Bagaimanapun, disebabkan ia di luar skop kerja dan tugas Yayasan Perak, agihan kotak makanan tidak dapat disempurnakan dengan baik kerana mereka tiada kemampuan mengedarkannya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Yayasan Perak tetapkan kriteria NGO bagi pengagihan kotak makanan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI