IPOH – Keputusan menempatkan semula peniaga kecil jualan but kereta di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ke MBI Terrace adalah jalan penyelesaian harmoni antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan warga Ipoh.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ini kerana pihaknya telah menerima lebih 30 aduan berkenaan aktiviti perniagaan kecil di situ sejak awal tahun ini.
Kata beliau, sebelum ini pihaknya hanya memberi amaran lisan di samping menangguh tindakan penguatkuasaan demi memberi peluang kepada mereka untuk mencari rezeki.
Jelas beliau lagi, isu melibatkan peniaga kecil di Dataran MBI telah bermula sejak tiga tahun lalu, dan keadaan menjadi semakin tidak terkawal sehingga tindakan segera perlu diambil.
“Bermula dengan 10 orang peniaga pada Ogos, bilangan peniaga terus bertambah kepada 44 orang pada awal November seperti yang direkodkan.
“Ia terus bertambah kepada 70 peniaga pada minggu ketiga November. Data terkini daripada wakil peniaga adalah (terdapat) 80 orang peniaga.
“Situasi penambahan bilangan peniaga (telah mengakibatkan) aduan berkaitan kesesakan lalu lintas serta aduan lain berkaitan terus (turut) bertambah.
“(Justeru) tindakan penempatan peniaga-peniaga asal adalah langkah penyelesaian yang terbaik sehingga ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Rumaizi, MBI telah mengadakan tiga kali mesyuarat dan memutuskan penempatan semula peniaga kecil ke MBI Terrace adalah kawasan paling sesuai.
Malah jelas beliau, ia juga bagi mengelakkan pelbagai masalah serta tomahan yang dilemparkan kepada MBI dalam menangani isu lambakan peniaga tanpa lesen di depan mata MBI sendiri.
Tambah Rumaizi, seramai 44 peniaga kecil telah diberikan penerangan oleh MBI tentang cadangan penempatan semula mereka ke MBI Terrace pada 6 Disember lalu.
Kata beliau, fasiliti MBI Terrace akan ditambah baik secara berperingkat selain peniaga yang terlibat akan dilesenkan, sekali gus memudahkan mereka memperoleh bantuan kewangan daripada agensi kerajaan seperti Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan sebagainya.
Dalam pada itu Rumaizi berkata, MBI mengambil maklum berkenaan penambahan 36 peniaga kecil baharu di Dataran MBI serta akan mengambil beberapa langkah perlu.
Jelas beliau, antaranya nama mereka akan diisi dalam senarai simpanan bagi mengisi kekosongan tawaran sekiranya terdapat 44 peniaga menolak tawaran penempatan semula di MBI Terrace.
“Senarai peniaga juga akan disemak untuk diberi tawaran di lokasi tapak, gerai medan selera atau tapak niaga yang kosong jika ada.
“Jika keadaan mengizinkan, MBI akan usahakan lokasi yang sesuai untuk penempatan semula dalam kawasan pentadbiran MBI,” katanya.
Tambah beliau, MBI juga bersedia membantu menguruskan penempatan peniaga kecil jualan but kereta itu ke tapak jualan yang diuruskan pihak swasta seperti di lokasi-lokasi tumpuan awam sekiranya ia dipersetujui.
Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 80 peniaga kecil di Dataran MBI merayu agar MBI menangguhkan arahan mengosongkan lot parkir di kawasan itu yang dijadikan sebagai tapak perniagaan.
Pengerusi Persatuan Carbooth Dataran MBI, Elham Mifzal Ellias, dilaporkan berkata, penempatan semula peniaga ke MBI Terrace dilihat akan memberi kesan kepada pendapatan mereka berikutan keadaan lokasi yang tidak strategik. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MBI beri peluang penduduk kemuka bantahan kenaikan cukai taksiran