Terima deposit pelaburan RM5.6 juta tanpa lesen, tiga beradik mengaku tak bersalah

IPOH: Tiga beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa, terhadap 19 pertuduhan menerima deposit pelaburan tanpa lesen yang sah berjumlah RM5.6 juta antara November 2016 hingga Disember 2020.

Tertuduh, M. Vijendran, 41, Danial Marnokaran Abdullah, 36, dan M. Thaewendran, 32, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara bersama dan berasingan itu, mereka didakwa menerima wang deposit antara RM6,000 hingga RM1 juta tanpa lesen yang sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Kesalahan itu didakwa dilakukan sejak November 2016 hingga Disember 2020.

Pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dibaca bersama Seksyen 249(1)(a) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haiqal Asyraf Suhaimi manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, C. V. Krishnadevan.

Muhammad Haiqal kemudiannya mencadangkan jaminan RM100,000 kepada setiap tertuduh namun Krishnadevan memohon agar ketiga-tiga anak guamnya itu diberikan jaminan rendah atas alasan tiada pendapatan tetap selain telah muflis dan perniagaan terjejas teruk.

Menurut Krishnadevan, tiga beradik yang menjalankan kegiatan pelaburan mata wang kripto itu juga telah memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang siasatan dijalankan bermula 2021.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa anak guam saya telah memfailkan notis permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi tujuan semakan kehakiman bahawa siasatan yang dijalankan tidak sah sekali gus membatalkan kesemua pertuduhan.

“Saya mohon budi bicara mahkamah supaya kes ini ditangguhkan sehingga keputusan semakan pada 1 April depan,” katanya.

Hakim Ainul Shahrin kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 18 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI