Tiada aktiviti perlombongan di muara Sungai Batu – Saarani

IPOH – Kerajaan Negeri Perak memaklumkan bahawa tiada sebarang aktiviti perlombongan bijih timah dasar laut sedang dijalankan di pesisir pantai atau di muara Sungai Batu, Daerah Manjung dekat sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu disahkan hasil semakan dan maklum balas daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta agensi-agensi berkaitan.

“JMG mengesahkan bahawa tiada Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) telah dikeluarkan untuk aktiviti perlombongan di kawasan tersebut.

“Sebarang aktiviti perlombongan hanya boleh dijalankan setelah mendapat kelulusan SKSPM daripada JMG.

“Walaupun terdapat permohonan yang telah diterima, ia masih dalam peringkat penilaian di peringkat Jawatankuasa SKSPM JMG Ibu Pejabat, dan tiada sebarang kelulusan untuk beroperasi telah dikeluarkan,“ katanya pada sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Daruk Ridzuan, pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan berlaku aktiviti perlombongan di pesisiran pantai sehingga menjejaskan nelayan khususnya di Muara Sungai Batu.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani memaklumkan, ketika ini hanya aktiviti perlombongan pasir silika sahaja yang dijalankan oleh pemaju.

“Berdasarkan kepada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (DEIA) dan Laporan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bertarikh 13 Jun 2023 yang telah diberikan kepada pihak syarikat.

“Lokasi aktiviti tersebut terletak sejauh lima kilometer daripada kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang,“ jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 1,500 nelayan yang bergantung hidup pada sumber pencarian di pesisir pantai mendesak supaya pihak berkaitan membatalkan kelulusan yang diberikan untuk satu projek perlombongan bijih timah dasar laut yang dijadual dilaksanakan di kawasan pesisiran pantai daerah ini.

Kebenaran untuk aktiviti perlombongan itu didakwa diberikan dari muara Sungai Batu hingga Tanjung Batu, meliputi kawasan yang menjadi sumber pendapatan utama bagi nelayan di sekitar kawasan tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin titah banteras operasi e-waste haram di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI