KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk memindahkan atau menggantikan Penjara Taiping dengan kompleks penjara baharu buat masa ini meskipun terdapat syor daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kesesuaian kemudahan tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan setakat ini belum membuat sebarang keputusan berkaitan pemindahan atau penggantian Penjara Taiping.
“Kerajaan pada masa ini belum membuat sebarang keputusan untuk memindahkan atau menggantikan Penjara Taiping dengan sebuah kompleks penjara baharu,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Penjara Malaysia akan terus menilai keperluan pembangunan, naik taraf atau penggantian kemudahan penjara berdasarkan beberapa faktor penting.
Katanya, antara aspek yang diambil kira termasuk keselamatan, keperluan operasi, kapasiti penempatan banduan, keadaan fizikal bangunan sedia ada serta implikasi kewangan kepada kerajaan.
Dalam masa sama, beliau berkata, kementerian turut mengambil maklum dapatan dan syor yang dikemukakan Suhakam berhubung insiden yang berlaku di Penjara Taiping pada 17 Januari 2025.
“Dapatan dan syor tersebut kini sedang diteliti oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Saifuddin berkata, Jabatan Penjara akan terus melaksanakan langkah yang bersesuaian bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan banduan serta kelancaran operasi Penjara Taiping sentiasa terpelihara.
Beliau menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk memindahkan Penjara Taiping ke kemudahan baharu susulan syor Suhakam yang mendapati bangunan sedia ada tidak lagi sesuai digunakan sebagai penjara.
Pada 25 Mei lalu, panel siasatan awam Suhakam mengeluarkan dapatan akhir berhubung rusuhan di Penjara Taiping pada 17 Januari 2025 yang mengorbankan seorang banduan warga emas.
Suhakam turut menggesa tindakan tatatertib segera dikenakan terhadap pegawai penjara yang terlibat dalam insiden keganasan itu serta menolak alasan bahawa tindakan tersebut boleh dianggap sebagai “penghukuman berganda” atau double jeopardy.


