IPOH – Kerajaan Negeri Perak tidak akan memberikan kelulusan terhadap mana-mana permohonan pembinaan kuil baru yang dibina di atas tanah kerajaan sekurang-kurangnya bagi tempoh lima tahun akan datang.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, perkara itu diputuskan menerusi Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak Bilangan 3/2025.
Jelasnya, pekeliling baru itu memberi panduan kepada pentadbir tanah berhubung dasar bagi Kaedah Pengurusan, Pelupusan dan Penguatkuasaan bagi kawasan Rumah Ibadat Hindu (Kuil) dan Tapak Perkuburan Hindu di Negeri Perak.
Ujar Sivanesan lagi, pekeliling itu juga menjadikan Perak sebagai negeri terawal yang mewujudkan pekeliling khusus berkaitan pengurusan rumah ibadat Hindu yang lebih tersusun.
“Jika hendak bina juga (kuil baru), mereka (pentadbir kuil) perlu membeli tanah sendiri dan mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan ini kerajaan negeri tidak akan campur tangan.
“Tetapi, jika dibina atas tanah milik kerajaan, kita akan ambil tindakan serta merta melalui PBT. Jika kita kesan ia berlaku, kita ambil tindakan secara terus, semasa dalam pembinaan sahaja, kita akan robohkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Hindu Negeri di Bangunan Sri Perak dekat sini pada Khamis.
Tambah beliau, sekata ini terdapat 480 kuil yang berdaftar di Negeri Perak, dan daripada jumlah itu ia lebih banyak daripada tokong dan gereja.
Mengulas lanjut, Sivanesan memaklumkan kerajaan negeri telah menerima sebanyak 18 aduan berhubung pembinaan kuil di atas tanah kerajaan yang didakwa tidak mempunyai kebenaran sah.
Kata beliau, kesemua aduan yang diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan melibatkan kawasan Ipoh serta Kerian itu bagaimanapun akan diteliti semula daripada semua aspek.
Sivanesan memberitahu, ini kerana kerajaan negeri mengambil pendekatan berhemah agar aduan yang disampaikan dapat diselesaikan dengan cara harmoni.
“Kita dapat menyelesaikan kira-kira 60 peratus masalah menerusi perbincangan sebelum memanggil pentadbir kuil untuk tindakan selanjutnya, sekiranya boleh dipindahkan, kita pindah.
“Ini kerana kita tidak mahu ambil tindakan untuk terus merobohkan kuil sedia ada kerana kita dalam negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan bersikap toleransi,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: