Tiada kelulusan untuk syarikat kuari ingkar aspek keselamatan

IPOH  – Kerajaan Perak sentiasa memastikan pengoperasian kuari di negeri ini mematuhi segala aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berikutan itu syarikat yang berhasrat menjalankan pengoperasian kuari perlu mendapatkan Surat Kelulusan Skim Pengkuarian (SKSK) atau Surat Kelulusan Sijil Pengendalian Melombong (SKSPM).

Menurutnya, surat kelulusan itu akan dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak.

“Permohonan untuk mendapatkan SKSK atau SKSPM akan dibawa untuk pertimbangan Jawatankuasa Penasihat Pengkuarian Negeri Perak yang ditubuhkan di bawah Dasar Kuari Perak 2004 yang dipengerusikan secara bersama oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak dan PTG Negeri Perak dan Pengarah JMG Perak.

“Jawatankuasa ini turut dianggotai wakil daripada Jabatan Alam Sekitar,  Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perhutanan, Polis DiRaja Malaysia, PlanMalaysia@Perak, Pejabat Daerah dan Tanah serta pihak berkuasa tempatan berkaitan.

“Selain itu, jawatankuasa yang bersidang dengan kekerapan empat kali setahun ini turut meneliti dan membincangkan aduan serta insiden berkaitan operasi pengkuarian dan perlombongan di Perak seperti kemalangan runtuhan batu yang melibatkan kematian serta kecederaan pekerja kuari.

“Antara garis panduan berkaitan yang diguna pakai bagi maksud pembangunan adalah Garis Panduan Perancangan Pembangunan Di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi yang dibangunkan pada tahun 2009 oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia ( PlanMalaysia ),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan V Bavani (PH-Malim Nawar) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Saarani turut memaklumkan sepanjang tahun 2022 sehingga 2023 JMG Perak merekodkan sebanyak sembilan kejadian kemalangan di tapak kuari yang melibatkan dua kecederaan dan lima kehilangan nyawa di sekitar negeri ini.

Sementara itu, menyentuh soalan tambahan yang dikemukakan Bavani berhubung usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam memelihara dan memulihara bukit batu kapur, beliau berkata sebelum sesebuah syarikat dibenarkan untuk mengusahakan kuari permohonan mereka perlu diajukan kepada PTG

“PTG akan mendapatkan ulasan-ulasan teknikal daripada jabatan-jabatan berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), JMG dan sebagainya. Jika semua jabatan bersetuju kawasan tersebut boleh diusahakan kuari, maka barulah ia diluluskan.

“Tapi jika ada jabatan teknikal tidak bersetuju contohnya JMG tidak bersetuju, JKR tidak bersetuju atau mana-mana jabatan teknikal yang mengatakan atau melaporkan bahawa kemungkinan besar akan berlaku runtuhan ataupun tidak selamat untuk mengusahakan kuari maka jawatankuasa mineral tidak akan meluluskan kawasan tersebut sebagai kawasan pengkuarian.

“Itu adalah di antara syarat-syarat yang membolehkan sesebuah syarikat itu menjalankan usaha pengkuarian di tempat berikut,” katanya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI