KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia terkorban atau cedera susulan serangan terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan insiden projektil jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, Arab Saudi semalam.
Kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh sedang berhubung dengan beberapa rakyat Malaysia yang terkandas akibat gangguan perjalanan bagi memberikan bantuan konsular yang diperlukan.
“Rakyat Malaysia yang menetap, sedang dalam perjalanan melalui, atau merancang untuk melakukan perjalanan ke Arab Saudi amat digesa supaya sentiasa berwaspada.
“Memandangkan gangguan penerbangan masih berterusan, mereka yang mempunyai rancangan perjalanan dalam masa terdekat dinasihatkan supaya mengesahkan status penerbangan masing-masing secara langsung dengan syarikat penerbangan sebelum bergerak ke lapangan terbang,” menurut kenyataan hari ini.
Kementerian itu turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan atau pembatalan penerbangan, sentiasa mengikuti perkembangan melalui saluran rasmi serta mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Susulan insiden itu, Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid.
Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau dalam situasi kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh menerusi talian 00 966 11 488 7098 atau 00 966 11 488 7100 untuk pertanyaan am, talian kecemasan selepas waktu pejabat di 00 966 56 300 6319 atau e-mel mwriyadh@kln.gov.my.
Wisma Putra memaklumkan pihaknya itu akan terus memantau perkembangan dengan rapat dan memberikan maklumat lanjut sekiranya perlu.
Semalam, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh manakala 309 lagi cedera dalam serangan peluru berpandu yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan awam ketika konflik bersenjata di Asia Barat semakin meruncing.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) mengesahkan mangsa yang terkorban terdiri daripada empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan.
Beberapa mangsa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital sekitar Riyadh.
Serangan itu dilaporkan mengenai kawasan terminal penumpang domestik, menyebabkan kerosakan pada kemudahan lapangan terbang dan mencetuskan suasana panik apabila penumpang bertempiaran menyelamatkan diri. – MalaysiaGazette


