Tidak perlu turun kuasa pantau harga barang KPDN kepada PBT – Nga Kor Ming

IPOH – Tiada keperluan kuasa bagi penguatkuasaan dan pemantauan harga barang di pasaran diturunkan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ini kerana beliau menyifatkan kementerian yang diketuai Datuk Armizan Mohd Ali itu menjalankan tugas dengan baik.

“Negara kita ada rukun dan juga sistem, yang mana kedaulatan undang-undang adalah sebahagian daripada prinsip Rukun Negara kita.

“Kuasa KPDN berjalan dengan baik, cuma dari segi pelaksanaanya perlu dipertingkatkan. Dan saya yakin di bawah kepimpinan Armizan, ia akan diperhebatkan lagi (penguatkuasaan dan pemantauan harga barang),” katanya.

turun kuasa pantau harga barang KPDN PBT Nga Kor Ming pihak berkuasa tempatan warga asing pasar borong
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Baharu Dewan Perhimpunan Cina Perak di Jalan Yeop Abdul Rani, Ipoh.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Baharu Dewan Perhimpunan Cina Perak di Jalan Yeop Abdul Rani, dekat sini, pada Sabtu.

Kor Ming sebelum itu diminta mengulas berkenaan saranan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mencadangkan agar KPDN dapat menurunkan kuasa kepada agensi penguatkuasaan lain seperti PBT bagi membolehkan pemantauan harga barang dilakukan lebih kerap terutama menjelang musim perayaan.

Muhamad Akmal yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka dilaporkan berkata, perkara itu diutarakan sebagai mahu kerajaan mengambil langkah agresif bagi mengekang penjualan barangan asas, terutama beras dengan harga tidak masuk akal.

Dalam perkembangan lain, Kor Ming diminta mengulas berkenaan laporan sebuah akhbar yang mendakwa pendatang asing mula menguasai Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Johor Bahru melalui perniagaan sayur-sayuran.

turun kuasa pantau harga barang KPDN PBT Nga Kor Ming pihak berkuasa tempatan warga asing pasar borong
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Baharu Dewan Perhimpunan Cina Perak di Jalan Yeop Abdul Rani, Ipoh.

Ahli Parlimen Teluk Intan memberitahu, pihaknya melalui PBT sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan larangan terhadap warga asing daripada berniaga dikuatkuasakan.

Namun jelas Kor Ming, beliau tidak menolak kemungkinan wujud situasi yang mana pekerja asing yang berada di premis perniagaan di pasar-pasar berkenaan sebenarnya hanya bertindak sebagai pekerja dan bukan pemilik.

Namun beliau menegaskan, individu tempatan yang didapati menyalahgunakan lesen perniagaan kepada warga asing, boleh berdepan tindakan kompaun dan disenarai hitam daripada PBT, selaku pengeluar lesen.

“Kita tidak menolak kemungkinan bahawa ada antara pekerja asing ini merupakan pekerja yang memiliki dokumen sah.

“Cuma, keberadaan mereka di gerai atau premis perniagaan di pasar itu seolah-olah memberi persepsi kononnya ia dimiliki mereka. Namun sebenarnya, mereka hanya pekerja yang mempunyai permit,” katanya lagi.

Justeru, Kor Ming meminta agar rakyat di negara ini dapat merebut peluang pekerjaan, terutama dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) bagi mengekang masalah berkenaan daripada berterusan.

“Apabila warga Malaysia sendiri tidak mahu melibatkan diri dalam sektor pekerjaan itu, maka warga asing akan mengambil peluang dengan mengisi kekosongan pekerjaan itu,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak sambut baik Bazar Ramadan Rahmah jika diteruskan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI