TAPAH – Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dengan majoriti 4,812 undi berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diumumkan di Pusat Gerakan BN di Kampung Haji Tahir malam tadi.
Calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir memperoleh 10,971 undi selepas kesemua 67 peti undi siap dikira.
Calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek meraih 6,159 undi manakala Bawani KS calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendapat 1,059 undi.
Antara yang kelihatan hadir termasuklah Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan penyandangnya, Ishsam Shahruddin meninggal dunia pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Allahyarham Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, memenangi kerusi N48 dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru. – MG Perak
Artikel Berkaitan: