Tiga beradik terima sijil kelahiran, seorang bakal berkahwin hujung tahun ini

KAMPAR – Penantian tiga beradik untuk mendapatkan sijil kelahiran akhirnya tercapai apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak menyerahkan dokumen tersebut kepada mereka di Kampung Tebing Tinggi, Malim Nawar, di sini, pada Selasa.

Malah, hasrat salah seorang daripada tiga adik beradik itu, Nur Ashikin Hariandi, 21, untuk ke jenjang pelamin hujung tahun ini dapat dilaksanakan selepas dia menerima dokumen berkenaan hari ini.

Nurashikin bersama abangnya, Muhammad Harudin, 23, dan adik lelakinya, Mohamad Haikal, 10, sebelum ini tiada sijil kelahiran sejak kecil.

Bapa mereka, Hariandi Dimun, 40, berkata, sebelum ini dia pernah ke JPN untuk menyelesaikan urusan dokumentasi bagi ketiga-tiga anaknya itu, namun kesukarannya untuk menulis dan membaca menyebabkan urusan tersebut berhenti di tengah jalan.

“Mungkin ini silap saya kerana leka dan tidak ambil serius sehingga anak-anak susah untuk bekerja atau hendak ke mana-mana.

“Alhamdulillah, saya seronok apabila ketiga-tiga anak akhirnya mendapat sijil kelahiran dan memudahkan mereka untuk menjalani kehidupan seperti orang lain,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Tebing Tinggi, Malim Nawar, di sini, pada Selasa.

Tiga beradik terima sijil kelahiran, seorang bakal berkahwin hujung tahun ini
Hariandi Dimun menjawab pertanyaan media ketika tinjauan MG Perak di Kampung Tebing Tinggi, Malim Nawar, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 OGOS 2024.

Dalam pada itu, Nur Ashikin, berkata, sebelum ini dia terpaksa menangguhkan majlis perkahwinannya akibat tiada sijil kelahiran dan MyKad.

Katanya, urusan dokumentasi untuk pernikahannya sukar untuk diselesaikan akibat ketiadaan dokumen penting itu.

“Perkahwinan saya tertangguh kerana tiada kad pengenalan malah saya juga susah untuk mendapatkan pekerjaan.

“Jadi, selepas mendapat sijil kelahiran saya akan ke JPN bersama bapa pada minggu ini untuk memohon kad pengenalan,” ujarnya.

Tiga beradik terima sijil kelahiran, seorang bakal berkahwin hujung tahun ini
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Perak, Asuat Ahmad pada sesi sidang media ketika hadir menyerahkan sijil kelahiran kepada tiga anak pasangan Hariandi Dimun dan Mashitah Kamarulzaman di Kampung Tebing Tinggi, Malim Nawar, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 OGOS 2024.

Dalam pada itu, Pengarah JPN Perak, Asuat Ahmad berkata, proses untuk mengeluarkan sijil kelahiran kepada ketiga-tiga beradik itu mengambil masa kerana mereka perlu melalui beberapa proses antaranya termasuklah menjalani ujian paterniti asid deoksiribonukleik (DNA).

“Selepas mendapat pengesahan hubungan mereka melalui ujian DNA, baru kita keluarkan sijil kelahiran kepada tiga beradik tersebut.

“Proses ini sangat panjang memandangkan umur mereka sudah meningkat dan mereka juga perlu melalui beberapa proses lain sebelum sijil kelahiran dikeluarkan. Selepas ini, kita akan bantu mereka untuk mendapatkan MyKad dalam tempoh terdekat,“ jelasnya.

Sementara itu, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, keluarga terbabit turut menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 bagi membantu keluarga berkenaan.

Beliau turut meminta masyarakat supaya cakna supaya semua individu di negeri ini mempunyai sijil kelahiran dan MyKad yang sah.

Tiga beradik terima sijil kelahiran, seorang bakal berkahwin hujung tahun ini
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi pada sesi sidang media ketika hadir menyerahkan sijil kelahiran kepada tiga anak pasangan Hariandi Dimun dan Mashitah Kamarulzaman di Kampung Tebing Tinggi, Malim Nawar, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 OGOS 2024.

“Seluruh rakyat Perak perlu cakna dengan keperluan sijil kelahiran dan Mykad. Jangan malu dan rendah diri (jika masih belum ada sijil kelahiran dan MyKad) tampil ke hadapan untuk minta bantuan.

“JPN dengan kerajaan negeri akan cuba membantu mana-mana individu yang mempunyai kesukaran untuk mendapatkan dokumen berkenaan,“ katanya.

Julai tahun lalu, Mohd Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tualang Sekah telah melawat keluarga berkenaan bersama beberapa agensi berkaitan mengambil maklum situasi yang dihadapi keluarga itu dan mengambil tindakan segera. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Permohonan MyKid dibuka semula

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI