TAPAH – Tiga lelaki sesak nafas selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang mereka naiki di sini, petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 54, 43 dan 32 tahun itu mengalami sesak nafas sekitar jam 4.30 petang.
Menurutnya, susulan kejadian itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 pagi tadi dan tiba di Unit Kecemasan Hospital Tapah untuk melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan.
Katanya, Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Pasir Putih turut hadir bagi membantu menjalankan operasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh petugas hospital mendapati kesemua mangsa telah terhidu gas karbon monoksida.
“Mereka kemudiannya meminta bantuan bomba untuk melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut bagu mengetahui tahap kandungan kimia yang terdapat di dalam kenderaan.
“Hazmat dari BBP Pasir Putih turut menjalankan beberapa ujian di dalam serta di luar kenderaan tersebut. Selain itu, ujian juga diadakan dalam keadaan enjin dihidupkan dan dimatikan.
“Ujian yang dijalankan menggunakan detector dan sampling pump ke atas kenderaan itu mendapati kandungan oksigen berada pada tahap normal manakala kandungan hidrogen sulfida dan karbon monoksida berada pada 0 PPM,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kesemua mangsa yang mendapatkan rawatan di Hospital Tapah kini berada dalam keadaan stabil.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Jasmin Sharif tamat sepenuhnya pada jam 1.33 petang apabila keadaan SUV itu berada dalam keadaan selamat. – MG Perak
Artikel Berkaitan: