IPOH – Tinggal bersendirian menjadi alasan seorang pelajar perempuan di sebuah institusi pendidikan di sini pergi menumpang di rumah sewa rakan lelakinya di Meru dekat sini, lebih seminggu.
Pelajar perempuan itu mendakwa tinggal berseorangan kerana semua rakan serumahnya pulang ke kampung masing-masing, sebelum pergi ke rumah sewa rakan lelaki yang juga menuntut di institusi pendidikan sama.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, itu alasan yang diberikan pelajar perempuan yang berusia 22 tahun dan lelaki 20 tahun itu ketika ditahan di sebuah pangsapuri kerana berkhalwat, pada Isnin.
Katanya, mereka ditahan sepasukan anggota penguat kuasa JAIPk sekitar jam 11.20 pagi atas maklumat awam.
“Pelajar perempuan itu mendakwa pergi ke rumah sewa lelaki itu selepas semua rakan serumah pelajar lelaki berkenaan pulang bercuti.
“Justeru kedua-dua mereka ditahan dan telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan JAIPk, serta kes disiasat di bawah Seksyen 54 (1) Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 serta Seksyen 54 (2) Enakmen sama.
“Mereka kemudian dibebaskan dengan bon jaminan penguat kuasa,” katanya ketika dihubungi, pada Selasa.
Dalam pada itu, Harith Fadzilah meminta agar Umat Islam khususnya pasangan remaja menjaga tingkah laku dan batas pergaulan.
“Masyarakat setempat diharap dapat memainkan peranan serta membudayakan ‘amar makruf nahi mungkar’ atau mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam mengekang perlakuan maksiat dalam kalangan Umat Islam,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Penceramah luar dibenarkan mengajar, bersyarah di Perak – JAIPk