Tinggal kerja tetap teruskan perusahaan labu sayong mertua

KUALA Kangsar cukup sinonim dengan industri pembuatan kraftangan tembikar termasuklah labu sayong yang menjadi salah satu tarikan pelancongan di daerah berkenaan.

Biarpun ditelan arus pembangunan, pembuatan labu sayong masih diteruskan beberapa pengusaha malah ada yang sudah diwarisi beberapa generasi dalam mengekalkan perniagaan yang diusaha turun-temurun itu.

Bagi anak muda Muhamad Haris Yusof, 33, minatnya dalam seni penghasilan labu sayong bukanlah dipupuk dari kecil tetapi hanya beberapa tahun kebelakangan ini selepas membuat keputusan mengambil alih perusahaan mertuanya.

Bapa kepada dua cahaya mata ini berkata, penglibatannya dalam penghasilan labu sayong bermula sejak 2017 selepas dia dan isterinya Nurhanis Mohd Nasir, 32, tekad untuk berhenti makan gaji dan pulang ke Kuala Kangsar bagi meneruskan perniagaan keluarga.

Pengusaha tembikar, Muhamad Haris Yusof, 33, dan isteri Nurhanis Mohd Nasir, 32, menunjukkan pelbagai produk tembikar dan labu sayong di Kraf Hanis Labu Sayong, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 FEBRUARI 2024.

Katanya, meskipun bukan berasal dari keluarga yang mengusahakan labu sayong serta tiada sebarang pengalaman dalam pembuatan tembikar berkenaan, dia mencabar dirinya untuk mencuba terlebih dahulu.

“Saya dan isteri mengusahakan Mehan Enterprise atau lebih dikenali sebagai Kraf Hanis Labu Sayong daripada 2017 yang mana kami merupakan generasi kedua perusahaan ini.

“Selepas saya dan isteri berkahwin kami berbincang dan sepakat untuk sama-sama berhenti daripada makan gaji dan mengambil keputusan meneruskan perusahaan ini.

“Dari situlah saya mula mempelajari pembuatan labu sayong daripada bapa mertua serta rakan-rakan beliau sambil dibantu pihak Kraftangan Malaysia,” katanya kepada MG Perak.

Tambahnya, dia benar-benar memahiri pembuatan labu sayong secara moden selepas enam bulan menimba ilmu dan pengalaman daripada bapa mertua serta rakan-rakannya di sekitar Kuala Kangsar.

Guna tanah liat sayong buat tembikar

Ditanya mengenai pembuatan labu sayong, graduan Sarjana Muda Pengurusan Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, tembikar berkenaan dibuat menggunakan tanah liat sayong yang diperoleh daripada sebuah sungai kecil di Kampung Kepala Bendang, Kuala Kangsar.

Pengusaha tembikar, Sazilah Mohd Yusof 56, menunjukkan proses membuat produk tembikar dan labu sayong di Kraf Hanis Labu Sayong, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 FEBRUARI 2024.

Jelasnya, tanah berkenaan akan dibancuh ke dalam mesin sebelum ditapis bagi membuang benda asing seperti pasir serta kayu dan kemudiannya dituang ke dalam acuan pelbagai bentuk.

“Untuk produk kecil seperti cenderahati proses menuang dalam acuan mengambil masa satu jam setengah sehingga dua jam dan selepas proses dipanggil ‘casting’ ini selesai kita akan keluarkan produk dari acuan.

“Lalu ia akan dibawa ke bahagian mesin yang mana kita akan membuat hiasan dengan memutarnya dan bila sudah selesai kita akan jemur di bawah matahari atau membiarkan ia kering terkena angin,” katanya.

Pengusaha tembikar, Muhamad Haris Yusof, 33, tekun mengukir corak pada labu sayong di Kraf Hanis Labu Sayong, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 FEBRUARI 2024.

Tambah Muhamad Haris, selepas dikeringkan, labu sayong berkenaan akan dimasukan ke dalam ketuhar bagi dibakar selama enam hingga lapan jam bermula dari suhu 100 sehingga 900 darjah celcius secara berperingkat.

“Kita tidak boleh terus bakar labu sayong dengan suhu tinggi kerana ia akan terkejut lalu pecah, jadi kena naikkan suhu sedikit demi sedikit,” katanya.

Sosial media bantu promosi labu sayong

Menyedari wujudnya persaingan dengan perusahaan labu sayong yang lain di Kuala Kangsar, Mehan Enterprise menggunakan pelbagai kaedah pemasaran termasuk sosial media seperti aplikasi TikTok bagi menjual produk dan menari kedatangan pelancong.

Muhamad Haris berkata, selain itu produk Kraf Hanis Labu Sayong turut mendapat promosi daripada jabatan kerajaan seperti Kraftangan Malaysia, Tourism Perak dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

Pengusaha tembikar, Nurhanis Mohd Nasir, 32, menyusun pelbagai produk tembikar dan labu sayong yang telah siap untuk dijual kepada pelanggan di Kraf Hanis Labu Sayong, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 FEBRUARI 2024.

“Tetapi dengan kepesatan teknologi kami mengambil inisiatif sendiri memuat naik hantaran gambar dan video di sosial media kerana ia lebih cepat mendekati sasaran pelanggan dan pelancong.

“Selain di sosial media kami juga menerima pelanggan yang datang sendiri ke bengkel kami di Kampung Sayong, Kuala Kangsar bagi melihat sendiri proses pembuatan dan berpeluang mencubanya secara nyata,” katanya.

Katanya lagi, selain daripada individu atau kumpulan kecil, bengkelnya itu juga turut menerima rombongan dalam jumlah yang besar seperti pelajar sekolah, kakitangan jabatan dan agensi kerajaan serta persatuan-persatuan dalam negara.

Pelajar Sekolah Khas Baling mengambil peluang mewarnakan tembikar ketika membuat lawatan di Kraf Hanis Labu Sayong, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 FEBRUARI 2024.

Ditanya mengenai harapannya, Muhamad Haris berkata, dia mengharapkan lebih banyak usaha dilakukan kerajaan melalui agensi dan jabatannya dalam membantu pengusaha labu sayong terutamanya dalam mempromosikan produk mereka.

“Selain itu, penyediaan geran atau bantuan pembiayaan mahupun dana amat diperlukan kami untuk membesarkan perniagaan dan memastikan labu sayong terus gah dan tidak ditelan zaman,” katanya. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI