Tingkat kawalan sempadan banteras ternakan seludup – Mat Sabu

KLANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggesa jabatan kerajaan berkaitan untuk meningkatkan penguatkuasaan di pintu sempadan negara menjelang Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia bagi membanteras penyeludupan kambing dan lembu yang menyebakan harga haiwan itu jatuh, sekaligus menjaga kebajikan penternak tempatan.

“Raya Haji ini satu sahaja, lembu cuma kita harapkan penguatkuasaan di sempadan itu perlu dipertingkatkan jika kambing masuk secara tidak melalui proses undang-undang.

“Maka ia menyebabkan penternak kita terutama di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak akan menghadapi masalah sebab kambing yang diseludup ini hargnya turun sehingga RM280 dan RM300 seekor.

“Penternak kita sekurang-kurangnya kena jual berdasarkan harga makanan, dan semua prosesnya, sekurang-kurangnya RM600 seekor dan RM1,000 di Kuala Lumpur dan Lembah Klang,” katanya selepas Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Tahun 2024, di sini, hari ini.

Menurut Mohamad, kawalan kemasukan haiwan dari negara luar juga penting bagi mengelakkan penjualan kambing dan lembu yang mempunyai penyakit.

“Kita bimbang ianya murah, masuk secara tidak sah, bimbang kalau ia membawa penyakit.

“Sebarang pedagang dan sebagainya mesti diluluskan dahulu oleh pihak DBS dalam hal veterinar supaya benda berpenyakit tidak dimakan penduduk di Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad melahirkan penghargaan kepada semua pihak susulan bekalan makanan sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini tidak menghadapi kekurangan.

Beliau berkata, secara umum harga sayur-sayuran, ayam dan telur agak rendah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI