Tipu guna nama projek nadir bumi: MB Inc jalankan siasatan dalaman

IPOH – Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) sedang menjalankan siasatan dalaman susulan dua individu didakwa di mahkamah atas pertuduhan menipu berkaitan projek perlombongan dan usahasama menggunakan nama badan tersebut.

Pejabat Komunikasi Korporat Strategik MB Inc dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius berhubung insiden itu selain sedang membantu siasatan pihak polis.

“Sekiranya (didapati ada) mana-mana kakitangan MB Inc didapati terlibat dalam isu yang berbangkit ini, MB Inc. akan mengambil tindakan dalaman yang tegas.

“Pihak-pihak yang ingin membuat pertanyaan atau menghantar cadangan kepada pihak MB Inc. dinasihati untuk menghubungi MB Inc. melalui medium-medium rasmi MB Inc.

“Orang awam dinasihati supaya tidak menggunakan perkhidmatan ‘orang tengah’ atau mana-mana pihak yang mendakwa bertindak bagi pihak MB Inc,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, media melaporkan dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menipu berkaitan projek perlombongan dan usahasama menggunakan nama MB Inc. pada 2022 dan tahun lalu.

Tertuduh, Heidil Iskandar Mohd Shamlan, 33, dan Mohd Zulkifli Mohd Toha, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mereka didakwa atas dua pertuduhan menipu Muhammad Razlan Abdullah, 65, dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa mereka dapat memberi satu projek perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Hulu Perak menggunakan nama MB Inc kepadanya.

Dilaporkan, mereka dengan curangnya mendorong Muhammad Razlan untuk menyerahkan wang tunai RM300,000 dan RM350,000 yang beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

NR-REE: Jawatankuasa Geopark sedia beri kerjasama penuh

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI