IPOH – Perak menyasarkan peningkatan kehadiran pelancong antarabangsa dari negara jiran termasuk Indonesia, Thailand dan Singapura, selain wilayah selatan China, sebagai strategi utama merancakkan sektor pelancongan negeri itu bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, penetapan sasaran tersebut dibuat berdasarkan kelebihan kedudukan geografi, kekuatan pelancongan domestik sedia ada serta kesesuaian pasaran serantau.

Katanya, selepas berjaga mengukuhkan sektor pelancongan domestik, Perak kini terus memperluaskan capaian ke pasaran antarabangsa bagi merancakkan lagi industri pelancongan negeri.
“Jika di pasaran domestik kita memerlukan pelancong dari negeri-negeri jiran, dalam konteks antarabangsa pula, sasaran kita adalah dari negara yang berhampiran seperti Thailand dan Indonesia.
“Justeru, ini merupakan ‘natural extension’ kepada pasaran domestik kerana aksesnya lebih mudah dan kita juga sudah mempunyai asas kerjasama yang baik dengan pengiat pelancongan di kesemua negara terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Rangkaian Kerjasama Bersama Pemain Industri Pelancongan Perak di Hotel 1969 D’ Kelly di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Pengerusi Persatuan Pelancongan Taiping Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid serta Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Suhaimi Abu Hassan Shari.
Tambah Sze Yee, Perak telah lama menjalinkan kerjasama pelancongan dengan Thailand melalui pelbagai siri penganjuran lawatan pengenalan atau ‘fam trip’, manakala usaha menarik pasaran Indonesia telah dipergiat sejak tahun lalu.
“Selain itu, Singapura juga menjadi tumpuan kerana kita mempunyai satu-satunya penerbangan antarabangsa. Ketiga-tiga negara ini merupakan pasaran terdekat dan paling mudah untuk diakses ke Perak,” katanya lagi.
Mengulas tentang sasaran pasaran China, Sze Yee berkata, keserasian budaya masyarakat Cina tempatan merupakan antara daya tarikan untuk pelancong dari kawasan berkenaan berkunjung ke Perak.

Pelancongan Negeri Perak 2026 di 1969 D’Kelly Hotel, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 JANUARI 2026.
Dalam perkembangan sama beliau menggesa agar para penggiat industri pelancongan di Perak untuk memperbanyakkan aktiviti pada waktu malam sebagai nilai tambah untuk menggamit kehadiran pelancong terutama pada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut beliau, tempoh sekitar empat jam selepas waktu makan malam amat penting untuk diisi dengan pelbagai pilihan aktiviti bagi memastikan pelancong tidak hanya bermalam pada satu malam sahaja di Perak.
“Apabila kita sebut aktiviti malam, jangan salah faham. Ia bukan semata-mata hiburan yang tidak sihat. Sebaliknya, aktiviti malam boleh dibuat dalam bentuk kafe, aktiviti riadah mesra keluarga dan sebagainya.
“Misalnya, di kawasan Pekan Lama Ipoh, kafe tumbuh bagai cendawan selepas hujan yang mana ia menjadi lokasi pilihan golongan muda berkumpul dan bersantai sambil menikmati kopi serta pelbagai menu lain.
“Keperluan tempat penginapan dari segi hotel dan aktiviti waktu siang sudah mencukupi di Perak. Dan kini cabaranya pula adalah untuk kita mengisinya dengan pelbagai aktiviti pada waktu malam,” ujar beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tahun Melawat Malaysia 2026: Perak salur lebih RM18 juta untuk sektor pelancongan


