IPOH – Transformasi sektor kesihatan seiring perkembangan teknologi digital, perubahan demografi, kemunculan penyakit baharu dan jangkaan masyarakat menuntut sistem penjagaan kesihatan lebih berdaya tahan, inovatif serta berpusatkan rakyat.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Negeri Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, penjagaan kesihatan primer kekal menjadi asas kepada sistem kesihatan yang kukuh dan mampan dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
“Seiring dengan perkembangan sektor kesihatan yang terus mengalami transformasi digital, perubahan demografi, kemunculan penyakit baharu serta peningkatan jangkaan masyarakat, kita perlu memastikan sistem penjagaan kesihatan sentiasa mampu menyesuaikan diri dan memberikan respons secara berkesan.
“Dengan memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan primer kita dapat meningkatkan usaha pencegahan penyakit, menggalakkan pengesanan awal, memperkukuh kesinambungan rawatan dan akhirnya meningkatkan tahap kesihatan serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Kesihatan ASEAN Ke-14 dan Kongres Kesihatan Perak Ke-11 mengenai Penjagaan Kesihatan Primer di Kinta Riverfront Hotel & Suites, di sini, pada Jumaat.

Kongres yang berlangsung dari 10 hingga 12 Julai itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Perak (FMSA Perak), Persatuan Pengamal Perubatan Perak (PMPS) dan Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Perak (PAPHP).
Sivanesan berkata, Perak berbesar hati sekali lagi menjadi tuan rumah penganjuran kongres berprestij yang menjadi platform menghimpunkan profesional penjagaan kesihatan, pembuat dasar, ahli akademik, penyelidik dan rakan strategik industri bagi memperkukuh kerjasama dalam memajukan penjagaan kesihatan primer.
Katanya, sambutan terhadap kongres kali ini amat menggalakkan apabila seramai 330 peserta mengambil bahagian.
“Penyertaan yang memberangsangkan ini mencerminkan komitmen berterusan warga profesional kesihatan terhadap pembelajaran sepanjang hayat, inovasi serta kerjasama di peringkat serantau,” katanya.
Sepanjang tiga hari penganjuran, para delegasi akan mengikuti program saintifik yang merangkumi empat sesi pleno, 13 simposium saintifik, pembentangan kertas kerja bebas serta pembentangan poster.

Program berkenaan turut membincangkan pelbagai topik semasa termasuk kesihatan digital, perubatan pencegahan, penyakit berjangkit, penuaan sihat, kesihatan mental, pediatrik, kesihatan wanita, perubatan kecemasan dan dermatologi.
Menurut Sivanesan, kongres itu bukan sahaja menekankan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat serta amalan berasaskan bukti, malah menjadi platform memperkukuh jaringan profesional dalam kalangan pengamal kesihatan di Malaysia dan negara ASEAN.
“Melalui kerjasama ini, kita dapat terus membangunkan penyelesaian yang inovatif serta menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti kepada masyarakat.
“Saya berharap kongres ini akan menjadi pemangkin kepada lahirnya idea-idea baharu, kerjasama yang lebih bermakna serta penyelesaian praktikal yang mampu memperkukuh sistem penjagaan kesihatan primer, bukan sahaja di Perak dan Malaysia, malah di seluruh rantau ASEAN,” katanya. -MGPerak


