UMNO, BN hasrat letak calon jika PRK  – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK – UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersedia bertanding dalam Piliharaya Kecil (PRK) jika berlaku kekosongan di enam kerusi parlimen berikutan langkah Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) yang meminda perlembagaan parti itu semalam.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerusi yang disandang keenam-enam Ahli Parlimen Bersatu itu sebelum ini memang dipegang UMNO, justeru perundingan akan diadakan bersama kepimpinan Kerajaan Perpaduan bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan.

“Jika ada pengosongan kerusi itu pasti perundingan untuk mendapatkan semula kerusi tersebut diadakan dan ia memberi keutamaan kepada calon-calon daripada UMNO dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pameran mini dan menyerahkan kit perniagaan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini, pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Mesyuarat Agung Khas parti itu semalam memaklumkan bahawa pindaan Perkara 10 Perlembagaan Bersatu membolehkan enam Ahli Parlimen parti itu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diarahkan untuk mengosongkan kerusi mereka.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menghantar surat kepada enam wakil rakyat terbabit untuk mendapatkan pengesahan sama ada mereka masih kekal dengan keputusan menyokong Perdana Menteri.

Untuk rekod, enam Ahli Parlimen tersebut ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Semalam, Syed Abu Hussin dilaporkan berkata, enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan terhadap Anwar bertegas untuk tidak mengosongkan mana-mana kerusi sehingga mahkamah memutuskan untuk berbuat demikian. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI