IPOH – Tindakan segelintir kepimpinan dan ahli UMNO yang memilih untuk berdiam diri tanpa berani menegur mahupun memberi penerangan berkenaan masalah dihadapi rakyat disifatkan sebagai gejala (sindrom) bisu.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, selepas kekalahan teruk Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, UMNO dilihat tidak menunjukkan sebarang perubahan ke arah lebih baik.
“Tiada perubahan dari segi tindakan, khidmat kepada masyarakat dan kepimpinan. Jadi bagaimana UMNO hendak kembali pulih, dan bangkit semula.
“Semua mendiamkan diri, semua saya lihat cuba memikirkan kepentingan diri, hendak jawatan, kedudukan, hendak itu ini dan ia bukan untuk parti, bukan untuk perjuangan UMNO itu sendiri. Dari atas sampai ke bawah, jangan cakaplah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Iftar Perdana bersama Media Perak di TT Hall, Taj International College, di sini, pada Rabu.
Menurut bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu, ‘sindrom bisu’ dalam kalangan kepimpinan dan ahli UMNO yang dilihat takut menegur kesalahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), semakin melarat.
“Tambah sekarang ini ada sindrom dalam kalangan ahli-ahli UMNO, sindrom bisu di mana tidak berani hendak komen atau bagi penerangan dan menegur, sekarang sudah melarat.
“Dalam UMNO itu sendiri, kepimpinan UMNO, ahli-ahli UMNO tidak berani hendak tegur apa permasalahan rakyat yang sepatutnya diambil tahu, diberi perhatian lebih-lebih lagi masalah ekonomi rakyat, mana dia suara UMNO?” soal beliau.
Tajuddin berkata, beliau berpandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersifat terbuka sekiranya diberi teguran oleh kepimpinan dan ahli UMNO memandangkan ia merupakan suara yang membina Kerajaan Perpaduan.
“Kenapa takut bersuara? Takut dengan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan? Takut dengan Perdana Menteri? Saya rasa beliau tidak akan marah jika suara itu adalah suara-suara membina.
“Teguran itu bukan mengutuk Perdana Menteri dan saya rasa Anwar bersifat terbuka dan anda boleh suarakan apa sahaja cuma kena pastikan anda bertanggungjawablah dengan apa yang disuarakan, jangan merapu tidak tentu hala,” katanya.
Tajuddin turut memaklumkan beliau masih lagi menyayangi UMNO meskipun digantung selama enam tahun dan akan terus menabur bakti kepada masyarakat sekitar Parlimen Pasir Salak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kampung Baru Cina: Ahmad Zahid tidak pernah terima panggilan