UMNO perlu ‘ubat’ dan ‘pakar’ untuk bangkit – Tajuddin

PASIR SALAK – UMNO mampu bangkit semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya menerima ‘ubat’ yang tepat dalam mengembalikan semula kegemilangan parti politik orang Melayu itu.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, bagaimanapun sehingga kini UMNO masih gagal menemui rawatan sewajarnya dalam memulihkan parti berkenaan selepas kekalahan teruk pada PRU15 lalu.

Menurut Tajuddin, UMNO sewajarnya bekerja keras dalam menghadapi PRU16 bagi memastikan kemenangan selesa dengan mengambil maklum suara akar umbi yang dilihat dipinggirkan setakat ini.

“Kalau esok PRU kita (UMNO) akan kalah, tetapi kita masih ada masa sekarang untuk buat kerja bagi memperkukuhkan serta memperkuatkan kerja bagi memastikan UMNO mampu bangkit dengan tindakan yang tepat.

“UMNO di dalam keadaan sekarang ini sakit, tenat dan orang yang sakit kena dapatkan ubat serta pakar yang pandai dalam mencari ubat mujarab supaya ia sihat kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di kediaman beliau di
Kampung Gajah, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, masalah utama yang perlu disembuhkan dalam UMNO ketika ini adalah sindrom bisu dalam kalangan pemimpin dah ahlinya yang pernah disuarakan beliau sebelum ini.

Ujar beliau, sekiranya tiada siapa yang berani bersuara UMNO tidak mungkin mampu bangkit semula serta memenangi hati akar umbi yang dilihat semakin menjauhi parti berkenaan.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada sidang media selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman beliau di Kampung Gajah. FOTO, ABDULLAH YUSOF, 21 APRIL 2024.

“Kepimpinan sekarang tidak menjaga akar umbi. Ramai akar umbi tidak berpuas hati, tapi apa yang dibuat mereka? Saya ada bercakap dengan beberapa pemimpin UMNO agar selami permasalahan di peringkat akar umbi kerana mereka yang tentukan parti bangkit semula atau tidak.

“Sekiranya tidak ada perubahan memperbaiki kepimpinan UMNO maka akar umbi tidak bolehlah nak bangkit semula kerana akar umbi ini menjadikan PRU sebagai tempat mereka menyatakan ketidakpuasan hati mereka,” katanya.

Terdahulu MG Perak melaporkan tindakan segelintir kepimpinan dan ahli UMNO yang memilih untuk berdiam diri tanpa berani menegur mahupun memberi penerangan berkenaan masalah dihadapi rakyat disifatkan sebagai gejala (sindrom) bisu.

Tajuddin berkata, selepas kekalahan teruk PRU, UMNO dilihat tidak menunjukkan sebarang perubahan ke arah lebih baik.

“Tiada perubahan dari segi tindakan, khidmat kepada masyarakat dan kepimpinan. Jadi bagaimana UMNO hendak kembali pulih, dan bangkit semula.

“Semua mendiamkan diri, semua saya lihat cuba memikirkan kepentingan diri, hendak jawatan, kedudukan, hendak itu ini dan ia bukan untuk parti, bukan untuk perjuangan UMNO itu sendiri. Dari atas sampai ke bawah, jangan cakaplah,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

UMNO kini ada ‘sindrom bisu’ dan semakin melarat – Tajuddin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI