TAIPING – UMNO tidak perlu khuatir sekiranya pemimpin mereka ‘dicuri’ atau lari ke parti lain ekoran barisan pelapis yang ada sedia mengantikan kekosongan yang ditinggalkan.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, perkara itu dibuktikan apabila parti itu kekal teguh meskipun pernah dikhianati beberapa pemimpin yang meninggalkan UMNO ketika pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.
“Orang nak curi ahli parti kita bukan baharu. Masa itu hari pun dah curi dah. Masa kita kalah PRU lepas, yang lompat masuk Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun ramai. Jadi bagi saya kita dah melalui zaman itu.
“Setakat nak curi, curilah tapi saya yakin ada orang yang akan datang kepada parti UMNO. Dia nak ambil satu ada beribu nak ganti untuk di tempat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang di Pejabat UMNO Bahagian Bukit Gantang, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohammad Sollehin berkata, sebarang usaha menarik pemimpin UMNO menyertai parti lain perlu mendapatkan kebenaran Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jelas beliau, ahli yang berhasrat menyertai parti lain tidak sewenang-wenangnya berbuat demikian ekoran perlu mengikuti proses yang ditetapkan dalam perlembagaan UMNO.
“Saya yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden PKR pun kena mengakui penglibatan Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri, sudah tentulah nak ambil anak orang ini kena tanya boleh ke tak boleh.
“Tengku Zafrul ini pun MT UMNO, Ketua UMNO Bahagian macam saya dan beliau pun tahun implikasi yang berlaku atas tindakan beliau,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Anwar mengakui wujud perbincangan awal berhubung dakwaan gerakan Tengku Zafrul untuk menyertai PKR. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ahmad Zahid ingatkan parti komponen kerajaan jangan ‘curi’ ahli parti lain