IPOH – Sebanyak 226 kes melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya direkodkan dalam Ops Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, pada Khamis.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, daripada jumlah itu kesalahan tiada lesen memandu antara yang tertinggi dengan merekodkan 67 kes.
Katanya, kesalahan tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tiada perlindungan insurans masing-masing mencatatkan sebanyak 57 dan 54 kes.

Menurut beliau, dalam operasi sama, JPJ Perak turut merekodkan enam kes bagi kesalahan membabitkan nombor pendaftaran bermasalah, kesalahan teknikal (tujuh kes), lain-lain kesalahan (15 kes).
“Menerusi operasi yang membabitkan kekuatan 33 anggota itu, JPJ perak telah mengeluarkan 176 notis hasil tindakan ke atas 74 kenderaan daripada 820 yang diperiksa.
“Selain itu sebanyak lapan kenderaan telah disita dengan jumlah tujuh motosikal serta termasuk sebuah kenderaan yang tamat tempoh LKM sejak Jun tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika meninjau Operasi Pengarah JPJ 2026 di Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut Mohammad Yusoff berkata, antara kesalahan yang dikesan ke atas tujuh motosikal terbaibit adalah dengan sengaja menanggalkan brek belakang serta cermin sisi.
Beliau berkata, tindakan itu bukan sahaja mengundang bahaya kepada penunggang malah, ia akan mengakibatkan berlaku kejadian tidak diingini kepada orang awam atau pengguna jalan raya yang lain.
“Perkara ini membimbangkan kerana jika sesebuah kenderaan itu dibawa tanpa ada brek belakang, bagaimana pemandu atau penunggang hendak memberhentikan kenderaan dalam kes kecemasan seperti orang awam atau haiwan tiba-tiba melintas jalan raya.
“Saya juga terkejut apabila motosikal yang dikeluarkan daripada kilang dalam keadaan lengkap, namun kedua-dua cermin sisi sengaja ditanggalkan. Itu belum lagi ada kenderaan yang tiada nombor pendaftaran, tidak diselenggar dengan baik dan sebagainya.
“Saya tidak pasti bagaimana mereka boleh terlepas (membawa kenderaan ke jalan raya), tetapi seharusnya orang terdekat seperti ibu bapa dan ahli keluarga menasihatkan mereka untuk tidak berbuat demikian,” ujar beliau.

Tambah Mohammad Yusoff lagi, pelaksanaan operasi ini bertujuan untuk memantau dan memastikan tahap pematuhan orang awam terhadap peraturan-peraturan lalu lintas yang memberi tumpuan kepada kenderaan motosikal sempena musim cuti persekolahan.
Kata beliau, ini kerana pengguna jalan raya khususnya dalam kalangan penunggang motosikal merupakan antara pengguna jalan raya yang paling terdedah kepada risiko kemalangan.
“Operasi ini bukan semata-mata bertujuan untuk penguatkuasaan, sebaliknya sebagai langkah pencegahan dan pendidikan.
“Ia bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya terutamanya ketika tempoh cuti sekolah yang menyaksikan peningkatan pergerakan kenderaan,” ujarnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
JPJ kutip RM1.39 juta hasil kompaun sejak VEP dikuat kuasa


