USAHA membangunkan potensi anak muda di Perak merupakan pelaburan jangka masa panjang negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Melalui pendidikan berkualiti, latihan keusahawanan tersusun dan bimbingan agensi berkaitan, generasi muda Perak akan muncul sebagai pencipta peluang, bukan sekadar pencari peluang.
Ia selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030, di mana Kerajaan Perak memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, pemerkasaan belia dan keterjaminan makanan.
Tiga komponen penting ini saling melengkapi untuk memastikan pembangunan negeri terus seimbang dan mampan serta Pelan Perak Sejahtera 2030 berjaya dicapai.

Hasrat yang sering dinyatakan Saarani bahawa beliau mahu anak muda di negeri ini bukan sekadar menunggu pekerjaan tetapi mampu menyediakan peluang pekerjaan perlu disahut generasi muda.
Semangat ini perlu dipupuk sejak di bangku sekolah seperti kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ dan ia tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana pihak.
Bagi memastikan ia dapat direalisasikan Kerajaan Negeri menitikberatkan pendekatan pendidikan berasaskan kemahiran dan kebolehpasaran agar generasi muda bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang sebenar.
Melalui pelaksanaan program TVET yang menjadi salah satu tumpuan utama negeri, Kerajaan Perak berhasrat melahirkan tenaga muda yang mahir, profesional dan mampu memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi, termasuk dalam sektor pertanian moden dan ekonomi hijau.

Tahun ini sahaja, Kerajaan Negeri telah memperkukuh lagi ekosistem TVET dengan pelbagai inisiatif baharu termasuk pengukuhan kerjasama antara institusi latihan, agensi negeri dan pemain industri.
Usaha ini selaras dengan sasaran menjadikan Perak sebagai Koridor TVET Negara menjelang tahun 2030.
Bagi memastikan matlamat ini tercapai, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan Jelajah AIM TVET ke seluruh daerah bagi mendekati anak muda dan memberi kefahaman bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua, tetapi laluan masa depan yang bernilai tinggi dan berpotensi besar.
Program seperti ini menjadi pelengkap kepada agenda pembangunan negeri yang kini bergerak pesat melalui lima nod pertumbuhan berimpak tinggi, iaitu Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim; Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), di Manjung; Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan; Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Kerian dan Perak Halal Industrial Park (Perak HIP) di Lekir.

Kelima-lima projek ini sedang rancak dibangunkan dan dijangka membuka ribuan peluang pekerjaan, khususnya kepada tenaga kerja muda berkemahiran TVET.
Pembangunan usahawan di Perak menuntut kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, koperasi, institusi pendidikan dan masyarakat.
Justeru, penglibatan aktif sekolah-sekolah, guru-guru dan pelajar dalam program seperti ini amat dihargai kerana di sinilah benih pemimpin ekonomi masa hadapan disemai dan dibentuk.
Seorang usahawan yang berjaya perlu berinisiatif tinggi, berdisiplin, jujur, kreatif serta inovatif.
Mereka juga mesti berani mengambil risiko, bijak mencari peluang dan mampu bekerjasama dalam semangat pasukan.

Nilai-nilai inilah yang menentukan sama ada seseorang mampu bertahan dan berkembang dalam dunia keusahawanan yang mencabar.
Malah kejayaan beberapa usahawan Perak perlu dijadikan inspirasi oleh generasi muda seperti Amzari Abd Mutalib, pengasas Miker Food, yang kini menjadi ikon kebanggaan negeri.
Tidak ketinggalan Siti Zahirah Ismail, pengasas Akak Lejen Ventures, penerima Anugerah Usahawan Asnaf Terbaik Perak 2022.
Mereka ini membuktikan bahawa dengan usaha gigih, disiplin dan daya inovasi, anak muda Perak mampu mengangkat nama negeri hingga ke peringkat antarabangsa.
Maka usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 perlu diberi perhatian serta disokong generasi muda negeri ini bagi memastikan kemakmuran serta kesejahteraan Perak. -MG Perak


