BAGAN DATUK – Golongan usahawan berharap ada ‘berita gembira’ pada pembentangan Bajet 2024 Jumaat ini yang diharap memberi manfaat serta membantu meningkatkan ekonomi mereka.
Petani, penternak serta usahawan kecil dan sederhana (PKS) turut menaruh harapan tinggi supaya permintaan mereka direalisasikan pada bajet kali ini.
Pengarah Urusan Penternakan Sumber Unggas Sdn Bhd, Mohd Anas Mohd Asmawi, 39, berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan untuk memberikan tanah-tanah kosong di Perak kepada petani dan penternak supaya dapat diusahakan.
Beliau yang menjalankan perniagaan penternakan ayam dan puyuh itu juga berharap menerusi Bajet Perak 2024, golongan belia yang terbabit dalam bidang pertanian dan penternakan ini dapat diberikan insentif serta bantuan bersesuaian.
“Untuk Bajet Perak 2024 Perak, saya harap kerajaan negeri boleh melepaskan tanah-tanah kosong yang tidak digunakan kepada penternak dan petani.
“Selain itu, proses permohonan untuk mendapatkan tanah tersebut juga diharap dapat dipermudahkan.
“Sehubungan itu, penternak atau petani terutamanya golongan muda yang mengusahakan tanah-tanah ini, secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan sekuriti makanan khususnya di negeri Perak dan amnya di Malaysia,” katanya ketika ditemubual MG Perak baru-baru ini.
Bagi pengusaha Padussi Cookies, Erni Yulina Tajab, 54, pula berkata, pada masa kini usahawan PKS sepertinya memerlukan kos yang tinggi untuk mengembangkan perniagaannya itu.
“Justeru, saya berharap terdapat bajet untuk pembangunan usahawan yang merangkumi bantuan seperti modal pusingan dan pelaksanaan premis ke arah halal.
“Kami amat berharap kerajaan negeri dapat membantu kami untuk mendapatkan sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan halal kerana kami mempunyai kekangan kos untuk mendapatkan kelayakan tersebut.
“Jika perniagaan yang diusahakan tidak berkembang, maka ia hanya akan berada di satu tahap sahaja sedangkan produk yang dijual mampu pergi lebih jauh sehingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga sayur-sayuran, L Bala Murali, 38, berkata, beliau hanya mahu golongan tersebut tidak dipinggirkan dalam bajet pada tahun hadapan.
Beliau yang juga mempunyai kebun sayur di Tanjung Tualang berharap peruntukan pembangunan untuk sektor pertanian mampu menghasilkan bekalan makanan mencukupi dalam memenuhi permintaan dan keperluan penduduk secara konsisten, mampu diperolehi, berkhasiat dan berkualiti.
“Itu dapat membantu saya untuk menjual sayur-sayuran dengan harga yang lebih berpatutan atau mungkin lebih murah daripada sebelum ini,” jelasnya. – MG Perak
[…] Usahawan mahu ‘berita gembira’ dalam Belanjawan Perak 2024 […]