KERAJAAN Negeri Perak memperkukuh strategi ekonomi melalui pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030 dengan memberi penekanan khusus kepada pembangunan keusahawanan dan perluasan pasaran eksport produk negeri ini ke luar negara.
Pendekatan ini penting bagi memastikan ekonomi rakyat di semua peringkat dapat diperkuatkan demi mencapai kesejahteraan yang lebih menyeluruh.
Berdasarkan data Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), eksport negeri Perak pada tahun 2024 mencatatkan nilai RM8.76 bilion.
Sebanyak 150 syarikat di Perak telah menerima manfaat dari program pembangunan pengeksport dan fasilitasi perdagangan MATRADE bagi tempoh 2024 hingga Mei tahun ini.
Geran berjumlah RM1.76 juta telah disalurkan kepada syarikat-syarikat di Perak selain negeri ini berjaya menjana jualan eksport sebanyak RM124.62 juta.
Ini meletakkan Perak di kedudukan kesembilan nasional, dengan sumbangan kira-kira 1 peratus kepada jumlah eksport negara dengan China, India, Vietnam, Indonesia dan Switzerland kekal sebagai lima destinasi utama eksport negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keusahawanan menjadi antara sandaran penting dalam merangka dan melaksanakan Pelan Perak Sejahtera 2030 supaya ekonomi setiap lapisan masyarakat dapat diperkukuhkan.
Beliau menyifatkan program berkenaan sebagai manifestasi jelas kepada pelan tersebut dan hasil kesepakatan pelbagai agensi dalam memacu ekonomi negeri.
Menurutnya, menerusi penubuhan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) pada tahun 2020, usahawan yang bermula dari mikro yang bermula di rumah atau tepi jalan dibimbing mereka menjadi pengeksport dan memiliki jenama antarabangsa.
“Kini, dengan kerjasama pelbagai agensi seperti MATRADE, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), lebih 180 usahawan telah menyertai sembilan pameran perdagangan antarabangsa sepanjang tahun 2024.
“Jumlah nilai jualan tunai yang direkodkan mencecah RM2 juta, manakala jualan potensi melebihi RM20 juta,“ katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Hari Eksport Perak 2025 baru-baru ini.
Katanya, kerajaan negeri menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 20 usahawan baharu dan sedia ada untuk pasaran luar pada tahun 2025, dengan anggaran jualan tunai sebanyak RM2 juta dan potensi RM10 juta.
“Bagi sesetengah orang, angka ini mungkin masih kecil, tetapi kita mesti bersifat realistik dengan mengambil kira tahap semasa usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Perak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saarani turut menyorot beberapa kisah kejayaan usahawan negeri sebagai bukti keupayaan Perak dalam membina jenama eksport antaranya syarikat Ameen Products Sdn Bhd dari Teluk Intan yang mengeksport produk ke Mali, Maldives, Bahrain dan Fiji.
Selain itu, beliau menambah kejayaan Team Some Sdn Bhd, pengeluar dim sum halal sejuk beku yang telah menembusi pasaran Australia dan Dubai membuktikan bahawa usia perniagaan bukanlah penghalang selagi ada keberanian, perancangan dan kesungguhan untuk melangkah lebih jauh.
“Antara produk tradisional yang menembusi pentas dunia ialah ikan pekasam dari Lenggong dan Gerik yang menerima sambutan memberangsangkan di Nanning Expo 2025.
“Jenama tempatan seperti KUHOT yang bermula dengan menjual apam balik di tepi jalan juga dijangka menembusi pasaran antarabangsa.
“Jika tiada aral melintang, tepung apam balik jenama KUHOT dijangka akan turut dieksport ke luar negara yang menjadi satu lagi bukti bahawa produk yang bermula secara kecil-kecilan juga mampu menjadi jenama eksport yang membanggakan,” jelasnya.
Di samping itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan terus memperkasakan pelaksanaan program berkaitan eksport dan pembangunan keusahawanan menerusi kolaborasi rentas portfolio antara Exco Usahawan dan Exco Pertanian.
“Sebagai contoh, kolaborasi erat antara Exco Usahawan dan Exco Pertanian yang disokong oleh jabatan serta agensi teknikal negeri telah berjaya mewujudkan ekosistem pembangunan industri yang lebih menyeluruh,“ katanya lagi.
Saarani turut menyatakan hasrat untuk memperluaskan lagi penglibatan usahawan Perak ke platform global seperti Ekspo Dunia 2025 di Osaka, serta pameran di Brunei dan New Zealand. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak sasar 20 usahawan tembusi pasaran antarabangsa tahun ini