Wanita Tanzania dieksploitasi sebagai pekerja seks diselamatkan JIM

KUALA LUMPUR – Seorang wanita asing yang dijadikan pekerja seks secara paksa diselamat anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu negara pada awal pagi Isnin lalu.

Wanita tersebut sebelum itu diperdayakan menerusi janji pekerjaan dengan gaji lumayan serta peluang melanjutkan pelajaran di Malaysia.

Selain itu, seorang lagi wanita warga Tanzania dikenali sebagai ‘madam’ dan berperanan sebagai ibu ayam turut ditahan dalam operasi sama.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, wanita tersebut telah dikawal dan pasportnya dipegang ahli sindiket dan kini dia ditempatkan di rumah perlindungan di bawah arahan perlindungan sementara Interim Protection Order (IPO).

“Suspek enggan membuka pintu dan tidak memberikan kerjasama pada awalnya sehingga memaksa pasukan operasi menyerbu masuk ke premis tersebut sebelum seorang wanita warganegara Tanzania berumur 32 tahun dikenali sebagai ‘madam’ yang disyaki menyalahgunakan kemudahan Pas Pelajar dengan menjadi ibu ayam telah berjaya ditahan pasukan operasi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Operasi yang disertai sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan Operasi Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dilakukan berikutan maklumat daripada Suruhanjaya Tinggi Republik Tanzania di Kuala Lumpur tentang kegiatan pemerdagangan orang.

Menurut Ruslin, JIM mendapati modus operandi sindiket adalah dengan menjanjikan mangsa pekerjaan termasuk peluang untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia dan ahli sindiket sering berpindah randah bagi menyukarkan dikesan pihak berkuasa.

Tambah beliau, siasatan dilakukan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau pemenjaraan seumur hidup dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI