TANJUNG MALIM – Festival of STEM 2026 (FOS’26) menjadi platform memperkasakan pemahaman masyarakat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan pendidikan yang mampu membentuk masa depan golongan muda.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairuddin Abu Hanifah berkata, penganjuran festival itu penting dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, di samping memberi peluang kepada masyarakat mengenali bidang STEM dan TVET dengan lebih dekat.
“Program ini memberi ruang dan peluang khususnya kepada masyarakat dan komuniti untuk mengetahui serta melihat apa itu STEM dan TVET yang menjadi agenda pendidikan tinggi bagi negeri dan juga kebangsaan.
“Selain itu, ia turut menghimpunkan pelbagai aktiviti akademik, inovasi, teknologi, keusahawanan, kerjaya, sukan dan jaringan industri yang melibatkan semua jabatan serta unit di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), pemain industri dan pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan FOS’26 serta menyempurnakan Perasmian Kompleks Sukan PSAS di PSAS, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah.
Khairuddin berkata, festival berkenaan turut memberi peluang kepada pengunjung mengenali program pengajian yang ditawarkan serta kemudahan pembelajaran disediakan di institusi berkenaan.
Katanya, pameran hasil inovasi pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) membuktikan keupayaan golongan pelajar mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran hasil bimbingan guru dan pensyarah.

“Pelbagai hasil inovasi yang dipamerkan menunjukkan prestasi baik pelajar dalam menggunakan pengetahuan sedia ada, selain bimbingan daripada guru dan pensyarah.
“Ini adalah model inovasi yang cukup baik dan memberi kesan kepada pembangunan kemahiran dalam bidang TVET dan STEM di negeri Perak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran FOS’26 menjadi medium memperkukuhkan hubungan strategik antara PSAS dengan pemain industri, agensi kerajaan, institusi pendidikan, alumni dan komuniti setempat.
“Program selama dua hari itu turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pameran, robotik, pertandingan STEM, forum industri, ekspo kerjaya dan pertandingan fotografi.
“Elemen-elemen ini membantu mempelbagaikan kebolehan dan kemahiran yang boleh diterima oleh para pelajar, pemain industri serta komuniti,” katanya.
Sehubungan itu, Khairuddin berharap penganjuran FOS’26 dapat diperluaskan pada masa akan datang, dengan kerajaan negeri memberi jaminan untuk terus menyokong program berkaitan STEM dan TVET.
“Kita akan sentiasa memberi sokongan, dorongan dan dokongan agar program-program yang melibatkan STEM dan TVET ini menjadi hala tuju pendidikan tinggi negeri Perak.
“Ia juga merupakan salah satu elemen untuk memberi kemahiran tertentu kepada anak-anak muda, khususnya mereka yang mungkin kurang berjaya dalam akademik tetapi masih mempunyai ruang dan peluang menceburi bidang kemahiran yang boleh dijadikan sumber rezeki dan pendapatan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
90 peratus peserta TVET Modular Perak berjaya ditempatkan bekerja


