IPOH – Seorang lelaki warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal berhampiran sebuah pasar raya, di Jalan Kampar di sini, pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, pejalan kaki berusia 67 tahun dipercayai sedang melintas jalan sebelum dilanggar sebuah motosikal.
Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang motosikal lelaki berusia 42 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Simpang Pulai menuju ke pusat bandar Ipoh.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa yang berada di atas pembahagi jalan secara tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri.
“Penunggang motosikal cuba memberhentikan kenderaannya dan mengelak ke kiri, namun oleh kerana jarak terlalu dekat menyebabkan kemalangan tidak dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, akibat daripada kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat.
“Penunggang motosikal yang turut cedera telah dibawa ke bahagian kecemasan hospital sama bagi mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Muhammad Najib berkata, pihak polis telah menahan motosikal terbabit untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) selain sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Syafiq Fauze di talian 05-2451537 atau hadir ke balai polis berhampiran,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


