Wujud 20,000 peluang pekerjaan menjelang akhir 2025 – Rafizi

IPOH – Sebanyak 20,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan di bawah projek Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) menjelang akhir tahun 2025.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, setakat ini terdapat 1,200 peserta yang menyertai projek IPR-INTAN di seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, lebih banyak tanah diperlukan untuk memperluaskan projek pertanian moden itu.

“Saya tidak melihat IPR ini sebagai bertani tetapi saya melihatnya sebagai peluang pekerjaan terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar yang kita memang tidak boleh bawa kilang masuk ke situ.

“Jadi daripada kita bersusah payah bawa kilang atau jabatan kerajaan buka pejabat baharu di situ, cara terbaik untuk mewujudkan peluang pekerjaan terbaharu di kawasan pedalaman adalah kita bawa tapak IPR setengah ekar untuk seorang (peserta),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Lawatan Projek IPR-INTAN Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di Hospital Bahagia Ulu Kinta, di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, Rafizi berkata, peluang pekerjaan yang disasarkan untuk golongan miskin tegar dan miskin itu bersamaan dengan mewujudkan 200 pusat data (data centre) di seluruh negara.

“Satu data centre jumlah pekerjaan yang diwujudkan hanyalah antara 60 ke 100, paling besar pun 100. Tetapi untuk bina satu data centre kita perlukan pelaburan asing selalunya antara RM4 ke RM5 bilion dan kita kena buat macam-macam.

“Tetapi, kalau ada 200 data centres barulah boleh mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan,” jelasnya lagi.

“Kalau kita berjaya meyakinkan kerajaan-kerajaan negeri, jabatan-jabatan Persekutuan, untuk tempoh lima tahun sementara tanah itu masih belum ada perancangan berilah tapak itu untuk kita buka untuk peserta miskin tegar dan juga miskin (menjalankan projek IPR),” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan terdapat lima ladang dibuka di bawah projek IPR-Intan NCER yang dijangka akan mengeluarkan lebih 2,100 tan hasil tanaman cili, jagung dan terung dengan nilai pasaran lebih RM29 juta.

Program itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus menjana pendapat kepada golongan terlibat dalam industri pertanian moden itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

IPR-INTAN: Perak sedia bincang dengan Kementerian Ekonomi

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI