‘Yang baik itu selalu pergi dahulu’- keluarga mangsa nahas helikopter

Ipoh – Keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada pagi Selasa, redha dengan pemergian insan tercinta.

Md Akhir Jamaludin, 55, mengakui beliau terkejut selepas menerima perkhabaran pemergian anak saudaranya, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, 35, salah seorang mangsa nahas tersebut.

“Dia memang boleh dikatakan memang baiklah, peramah dan dia menjaga ibu bapa dengan baik.

“Jadi selalunya macam itulah, yang baik itu selalu pergi dahulu, jadi kita redha,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, pada Selasa.

Beliau berkata, jenazah anak sedaranya itu akan dikebumikan di Senawang, Negeri Sembilan selepas segala urusan jenazah diselesaikan.

Temubual Md. Akhir Jamaludin 55, bapa saudara kepada Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi mangsa nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 APRIL 2024.

“Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan kesemua mereka yang mempertahankan negara,” tambah beliau.

Sementara itu, Nur Qistina Awliya Mohd Azinoor, 16, anak kepada Allahyarhamah Bintara Muda TNL Nor Rohiza Anuar, 39, meluahkan perasaan sedih apabila mendapat tahu ibunya sudah tiada.

Katanya, kenangan bergambar bersama-sama arwah pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini pastinya akan menjadi kenangan manis yang akan disemat selamanya.

“Masa raya hari itu dialah yang paling teruja nak tangkap gambar, mama cakap mana tahu dengan mama ini jadi gambar yang terakhir, boleh simpan buat kenangan.

“Baju raya tahun ni, saya akan simpan sampai bila-bila,” katanya.

Temubual Nur Qistina Awliya Mohd Azinoor 16 , dan kembarnya Nur Qistina Auni Mohd Azinoor 16, anak kepada Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar mangsa nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 APRIL 2024.

Allahyarhamah Nor Rohiza Anuar, meninggalkan seorang suami yang merupakan pegawai TLDM bersama empat orang anak yang berusia antara enam hingga 16 tahun.

Pada masa sama, anak kepada Allahyarham Komander Muhamad Amir Mohamad, Nuraina Farhana 16, berkata, dia akan merindui saat-saat menemani arwah ayahnya bermain futsal.

Katanya, kali terakhir berjumpa arwah pada Ahad lalu.

“Saya dapat berita ayah saya terlibat dalam tragedi helikopter di Lumut itu, ketika saya sedang berada di dalam kelas di Kolej Vokasional Kuala Kangsar,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Mendiang Sivasutan Anak Lelaki Tunggal Baru Berkahwin Januari Lalu – Sepupu

Luluh hati terima mesej takziah ketika harap anak selamat – Bapa

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI