IPOH – Yayasan Perak telah berkembang menjadi sebuah institusi yang memainkan peranan penting dalam menyokong kehidupan rakyat selama lebih empat dekad.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif seperti program Dermasiswa Yayasan Perak telah memberi manfaat kepada puluhan ribu pelajar dan membantu mereka mengejar impian tanpa dibelenggu kekangan kewangan.
Katanya, badan berkanun negeri itu kini terus memperluas skop perkhidmatan menerusi pelbagai inisiatif baru yang inklusif serta menyeluruh.
“Salah satu inisiatif terkini ialah penganjuran Program Pembangunan Eksekutif (EDP) Siri Kedua bertemakan Perancangan Strategik dan Pemerkasaan di Hotel Casuarina Meru, dekat sini selama dua hari bermula Selasa.
“Program ini bertujuan melahirkan individu berwibawa serta pemimpin masa depan yang berwawasan, selaras dengan aspirasi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Yayasan Perak 2024 di Hotel Casuarina Meru, dekat sini, pada Isnin.
Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed; Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd Zaki Mahyudin, serta Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan.
Pada majlis, seramai 10 kakitangan Yayasan Perak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2023 dan 2024 sementara seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Lama 2024.
Dalam pada itu Saarani berkata, Yayasan Perak merupakan badan yang memainkan peranan strategik untuk merealisasikan matlamat pembangunan modal insan iaitu salah satu fokus utama dalam Belanjawan Negeri 2025.
Kata beliau, justeru program seperti Tabung Simpanan Pendidikan, Insentif Siswa, dan Bantuan Khas Mahasiswa menjadi antara fokus utama Yayasan Perak dalam soal pendidikan.
Jelas Saarani, semua program yang wujudkan itu bertujuan meringankan beban kewangan keluarga serta memberikan peluang pendidikan kepada pelajar yang memerlukan, selaras dengan misi yayasan sejak penubuhannya.
“Selain itu, program pembangunan sosial seperti Sayangi Rumahku dan Tabung Usahawan menunjukkan komitmen yayasan dalam memperluas impaknya kepada masyarakat.
“Dengan pelbagai inisiatif ini, Yayasan Perak tidak hanya membantu individu merealisasikan potensi mereka, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan kemajuan ekonomi negeri,” tambah beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Yayasan Perak tetapkan kriteria NGO bagi pengagihan kotak makanan