Zainol Fadzi kekal Ketua Whip Pembangkang Perak, tiada arahan baharu PN

IPOH – Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin sebagai Ketua Whip Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kekal

Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria berkata, ini kerana Perikatan Nasional (PN) Negeri belum menerima sebarang arahan rasmi baharu berhubung perkara itu khususnya daripada kepimpinan pusat.

“Saya dilantik (sebagai Ketua Pembangkang) dilantik oleh PN, jadi jika PN kata tidak mahu (lagi saya menduduki jawatan itu), maka tidak adalah (jawatan Ketua Pembangkang itu).

“Oleh itu, selagi tiada sebarang keputusan baharu, maka ia kekal. Ia termasuk jika tanya kepada saya, adakah saya masih Ketua Pembangkang DUN (saya masih kekal),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersempena Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol memaklumkan, sebarang keputusan berkaitan struktur kepimpinan pembangkang perlu melalui proses organisasi parti yang lengkap.

Timbalan Pengerusi PN Perak itu berkata, justeru itu sebarang perkara yang melibatkan hal itu perlu melibatkan perbincangan antara parti komponen dalam gabungan itu di peringkat pusat sebelum dimaklumkan kepada negeri untuk tindakan perlu.

“Kita terikat kepada parti, dan oleh kerana blok pembangkang sekarang adalah PN, jadi sebarang keputusan bergantung kepada (pemimpin tertinggi) PN. Kalau nanti kata (sudah) tak mahu, maka tak adalah,”

“Kita tidak boleh buat keputusan sendiri, sebaliknya semua perlu datang daripada parti menerusi mesyuarat dan keputusan akhir parti.

“Dan oleh sebab itu Speaker DUN sebelum ini memaklumkan tiada perubahan tempat duduk (di blok pembangkang kerana tiada arahan rasmi daripada parti),” jelas beliau.

Sebelum ini media melaporkan, Zainol Fadzi antara 17 pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak yang dipecat Lembaga Disiplin parti itu kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, pada Februari lalu.

Antara wakil rakyat dari Perak yang turut dipecat ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob serta Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Sidang DUN Perak: Tiada perubahan tempat duduk ADUN

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI