TAIPING – Penduduk di Taman Kaya, di sini memohon Kerajaan Negeri Perak menaik taraf atau menggantikan paip yang didakwa telah uzur serta berusia lebih 30 tahun.
Mereka mendakwa kekerapan kejadian paip pecah khususnya pada setiap hujung tahun menghantui kehidupan penduduk sejak lebih daripada 10 tahun.
Pesara tentera, Nurzanan Ismail, 56, berkata, insiden itu lebih memeritkan apabila gangguan bekalan air berlaku dalam tempoh masa lebih setengah dari hari ekoran kerja-kerja pembaikan paip yang dijalankan.
“Insiden paip pecah ini amat meresahkan kami yang mana ia terlalu kerap berlaku. Kadang-kadang dalam seminggu berlaku dua ke tiga kali kejadian paip pecah.
“Malah ia juga kerap berlaku ketika awal pagi iaitu sekitar jam 3 atau 4 pagi. Apabila kami buat aduan, kadang-kadang hampir tengah hari baru siap dibaiki,” katanya ketika ditemui MG Perak di Taman Kaya, dekat sini, pada Selasa.
Nurzanan yang juga Pengerusi Badan Khairat Kematian kawasan kariah di situ berkata Taman Kaya yang terdiri daripada Fasa Satu, Dua dan Tiga itu mempunyai 47 lorong dan ia didiami kira-kira 7,000 isi rumah.
Justeru, dia berharap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dapat mengambil tindakan segera menaik taraf paip di kawasan perumahan itu.
Nurzanan juga bimbang insiden paip pecah di Taman Kaya itu akan menjejaskan persiapan penduduk untuk menyambut Ramadan tahun depan.
Seorang lagi penduduk, Nadzri Hanif, 65, berkata, dia bimbang sekiranya masalah itu terus berlarutan ia akan mengganggu urusan mustahak penduduk seperti pengurusan jenazah dan sebagainya.
Malah dia mendakwa, kenduri pernikahan keluarga kenalannya terganggu selepas berlaku insiden gangguan bekalan air ekoran daripada kejadian paip pecah sebelum ini.
“Saya ada menyampaikan masalah ini kepada wakil rakyat setempat, namun sehingga kini beliau tidak turun padang. Itu yang kami kesal.
“Sekurang-kurangnya jika dapat turun padang, boleh bersua muka dengan penduduk untuk mendengar keluhan kami di sini dan berbincang lanjut tentang masalah yang sudah berpuluh tahun ini,” katanya lagi.
Tinjauan MG Perak di lokasi mendapati Lembaga Air Perak (LAP) telah melakukan kerja-kerja pembaikan dan penggantian paip yang dikatakan pecah pada awal pagi Selasa.
Dalam pada itu ketika dihubungi, jurucakap LAP memaklumkan, kerja-kerja penggantian paip di Taman Kaya telah dijalankan secara berperingkat mengikut keutamaan.
“Sepanjang 7 kilometer (km) saluran paip jenis asbestos cement (AC) perlu dinaik taraf dan dijangka akan melibatkan kos keseluruhan sejumlah RM10 juta.
“Antara lorong yang telah dibuat penggantian kepada paip jenis Unplasticized Polyvinyl Chloride (UPVC) adalah di lorong 11, 25 dan 36 dan ia akan diteruskan mengikut perancangan,” katanya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
86 lokasi tanah mendap di Daerah Kinta dan Kampar dikenal pasti