IPOH – Kehadiran bulan Ramadan pastinya lebih menarik apabila ia dapat diserikan dengan pelbagai aneka juadah berbuka puasa.
Kali ini Hotel Casuarina@Meru di Meru Raya dekat sini menawarkan lebih daripada 100 hidangan berbuka puasa bertemakan ‘Syurga Rasa Ramadan’ bermula pada 3 Mac sehingga 28 Mac depan.
Daripada kibas panggang, burung puyuh berempah, ikan patin masak lemak tempoyak, gulai kawah kambing, daging dendeng, hingga ke pucuk ubi masak lemak labu dan ayam golek pandan, pastinya akan memukau selera pengunjung.
Juadah yang disediakan barisan chef berpengalaman yang diketuai Chef Muhammad Fariz Abdul Lateh turut dilengkapi dengan shawarma ayam, bubur lambuk tulang kambing, pasembur, nasi mandy dalca sayur tulang kibas, char kuey teow dan sebagainya.
Menurut Muhammad Fariz, Hotel Casuarina@Meru turut menyajikan pelbagai kuih-muih seperti tepung pelita, kole kacang, dan puteri mandi buat menambahkan lagi selera pengunjung berbuka puasa.
“Kami menawarkan pilihan menu daripada hidangan tradisional hingga kontemporari, yang mana ia bakal menambat selera pengunjung.
“Setiap juadah kami hidangkan dengan nuansa kekeluargaan dan kehangatan yang pastinya akan mengimbau kenangan Ramadan,” katanya.
Pengurus Besar Hotel Casuarina@Meru, Sabrina Ahmad Tah berkata, bufet Syurga Rasa Ramadan ditawarkan pada harga RM88 untuk dewasa, warga emas (RM85), dan kanak-kanak lima tahun ke atas (RM58).
Kata beliau, pihaknya juga turut menawarkan tempahan awal atau baucar ‘early bird’ bagi pengunjung dewasa dengan tawaran harga RM80, yang boleh ditempah sebelum 25 Februari ini.
“Dianggarkan 1,000 pengunjung bufet Syurga Rasa Ramadan mampu dimuatkan di Pusat Konvensyen Casuarina yang mana suasana cukup selesa.
“Selain itu kami juga mempunyai ruang solat kepada pengunjung di samping imam bagi mereka yang mahu menunaikan solat sunat tarawih,” ujarnya.
Sementara itu Sabrina menambah, Hotel Casuarina@Meru turut menawarkan dua pakej penginapan dua hari satu malam iaitu pakej Barakah dan Sinar Ramadan.
“Pakej Barakah bermula dengan harga RM358 satu malam, beserta sahur dan berbuka puasa untuk dua orang.
“Manakala, pakej Sinar Ramadan bermula dengan harga RM200 ditawarkan bagi penginapan satu malam, termasuk sahur untuk dua orang,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Harga kelapa, santan dijangka meningkat bulan Ramadan
100 hidangan Syurga Rasa Ramadan