Ibu tunggal tuntut keadilan, dakwa dua anak lelaki jadi mangsa buli, pukul di sekolah

IPOH – Seorang ibu tunggal menuntut keadilan selepas dua anak lelakinya didakwa menjadi mangsa serangan dan buli dalam dua kejadian berasingan di sebuah sekolah menengah agama di Chemor, di sini.

Noor Azwani Ahmad, 43, mendakwa anak sulungnya yang berusia 18 tahun ditampar sebanyak enam kali oleh seorang guru ketika hendak menduduki peperiksaan pada 21 Julai lalu sehingga mengalami kecederaan pada rahang.

Menurutnya, kejadian itu berlaku selepas guru terbabit mendapati anaknya membawa telefon bimbit ke sekolah.

“Anak saya memberitahu bahawa dia ditampar sebanyak enam kali, kolar bajunya ditarik dan diugut untuk ditumbuk oleh guru berkenaan,” katanya pada sidang media di Tanjung Rambutan, di sini, hari ini.

Katanya, ketika menjalani pemeriksaan, doktor memaklumkan bahawa rahangnya telah tersasar daripada kedudukan asal sehingga menyebabkan dia sukar membuka mulut dengan betul.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, sebelum ini, pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah bagi membantu mereka menyiapkan kerja kursus dan projek.

Bagaimanapun, beliau mendakwa pihak sekolah tidak memaklumkan kepada ibu bapa bahawa kebenaran itu telah ditarik balik.

Ibu tunggal tuntut keadilan, dakwa dua anak lelaki jadi mangsa buli, pukul di sekolah
Dua pelajar yang mendakwa menjadi mangsa buli oleh rakan sekolah dan guru menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat berhubung kejadian itu, pada sidang media di Tanjung Rambutan, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 OKTOBER 2026.

“Akibat kejadian tersebut, anak saya tidak dapat memberikan tumpuan ketika menduduki peperiksaan serta mengalami trauma.

“Pejabat Pendidikan Daerah memaklumkan kepada saya dalam satu pertemuan pada Ogos lalu bahawa tindakan akan diambil terhadap guru berkenaan, termasuk kemungkinan digantung tugas atau dipindahkan.

“Sehingga kini, guru terbabit masih bertugas di sekolah tersebut, namun dia tidak mengajar kelas anak saya,” ujarnya.

Noor Azwani berkata, anaknya dijadualkan bertemu pakar pada 7 Oktober ini bagi menentukan sama ada terdapat kerosakan kekal pada rahangnya.

Dalam kejadian berasingan, dia mendakwa anak keduanya berusia 17 tahun turut menjadi mangsa buli di asrama sekolah yang sama pada jam 11 malam, 5 Ogos lalu.

“Seorang pelajar cuba mencukur rambut anak saya sehingga botak menggunakan mesin pencukur rambut. Perbuatan itu mencetuskan pergelutan antara mereka sebelum anak saya ditumbuk dan dipukul pada bahagian muka serta leher.

“Anak saya turut mengalami kecederaan di kepala dan mengalami pendarahan selepas kepalanya terkena objek tajam ketika cuba mempertahankan diri. Dia kemudian dibiarkan dalam keadaan berdarah.

Ibu tunggal tuntut keadilan, dakwa dua anak lelaki jadi mangsa buli, pukul di sekolah
Seorang ibu tunggal mendakwa dua anak lelakinya menjadi mangsa buli rakan sekolah dan guru dalam kejadian berasingan di sebuah sekolah di Chemor, pada sidang media di Tanjung Rambutan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 OKTOBER 2026.

“Dia mencari warden di sekitar sekolah tetapi gagal menemuinya sebelum akhirnya menemui warden berkenaan di dewan makan. Saya agak terkilan kerana tidak dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anak saya itu,” katanya.

Akibat kejadian itu, dia mendakwa anaknya mengalami kesukaran untuk menduduki peperiksaan Bahasa Inggeris pada keesokan harinya akibat sakit kepala.

Noor Azwani mengambil keputusan membawa kedua-dua anaknya keluar dari asrama namun mereka masih bersekolah di tempat yang sama kerana masing-masing perlu menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Pegawai Penilai Pusat Penilaian itu juga telah membuat laporan polis pertama pada 4 dan 6 Ogos 2026 sebelum membuat dua lagi laporan pada 3 Oktober lalu berhubung insiden yang menimpa kedua-dua anaknya.

Mengulas lanjut, dia menjelaskan bahawa tujuan utama sidang media pada hari ini diadakan adalah kerana beliau mendakwa tiada tindakan diambil terhadap guru dan pelajar yang terlibat.

“Saya mengalami trauma akibat kejadian yang menimpa kedua-dua anak saya. Pada masa sama, saya turut mendapatkan khidmat peguam yang menasihati saya supaya membuat laporan polis kedua dan mengadakan sidang media.

Ibu tunggal tuntut keadilan, dakwa dua anak lelaki jadi mangsa buli, pukul di sekolah
Seorang ibu tunggal mendakwa dua anak lelakinya menjadi mangsa buli rakan sekolah dan guru dalam kejadian berasingan di sebuah sekolah di Chemor, pada sidang media di Tanjung Rambutan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 05 OKTOBER 2026.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak berkuasa dapat mempercepatkan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap guru serta pelajar yang terlibat,” katanya.

Pada masa sama, dia turut mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat sekiranya perkara itu tidak diselesaikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KKM, KPM perkukuh kerjasama tangani buli, cegah risiko pelajar bunuh diri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI