KKM, KPM perkukuh kerjasama tangani buli, cegah risiko pelajar bunuh diri

IPOH – Kementerian Kesihatan (KKM) terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani kesan buli terhadap pelajar, khususnya bagi memastikan mereka yang terkesan mendapat sokongan awal dan sewajarnya bagi mengelakkan risiko lebih serius termasuk cubaan membunuh diri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama antara kedua-dua kementerian merangkumi usaha meningkatkan kesedaran dan literasi kesihatan mental, selain memperkasakan pengesanan awal, proses rujukan serta intervensi terhadap pelajar yang mengalami kesan akibat buli.

Menurutnya, KKM turut memperkukuh perkhidmatan kaunseling di sekolah termasuk aspek saringan dan pengesanan awal perubahan tingkah laku atau simptom yang memerlukan perhatian.

“Bagi individu dan juga sekolah ataupun komuniti yang terkesan kita datangkan pasukan bantuan khusus atau yang saya sebutkan tadi Modul Latihan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial Semasa Krisis dan Bencana (MHPSS) sebagai team yang membuat intervensi dan outreach program.

“Ini adalah khusus untuk literasi dan kita tingkatkan kecelikan kesihatan mental, membina daya tindak balas mereka ataupun daya keupayaan sihat yang tepat dan awal bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang inklusif serta lebih positif supaya ia menjadi satu budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Kolej Poly-Tech Mara, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan dan Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, usaha berkenaan turut memerlukan kerjasama antara agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Komunikasi serta ahli akademik dari institusi pengajian tinggi.

Katanya, penglibatan golongan akademik penting dalam membantu kementerian melaksanakan pelbagai usaha berkaitan, termasuk pembangunan garis panduan klinikal bagi memastikan pendekatan menangani isu berkenaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KKM lancar NSFIRM, garis panduan perkhidmatan ‘postvention‘ tangani kes bunuh diri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI