2,083 doktor kontrak diserap perjawatan tetap

IPOH – Seramai 2,083 pegawai perubatan kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) akan diserapkan ke perjawatan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjelang Disember ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata sebahagian daripada penempatan doktor kontrak terbabit sudah selesai pada akhir Julai lalu.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan bajet tahun 2023, perjawatan tetap itu diberikan kepada 12,800 doktor kontrak untuk tiga tahun berturut-turut.

“Kita telah melaksanakan sebahagian daripada penempatan itu sehingga akhir bulan Julai lalu dan dengan kerjasama SPA kita akan uruskan untuk menawarkan pelantikan tetap bagi 2,083 tambahan pegawai perubatan kontrak ke tetap.

“InsyaALLAH kita jangka untuk mereka akan melapor diri ke fasiliti KKM pada akhir Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Dewan Seri Perdana ILKKM Sultan Azlan Shah di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Latihan KKM, Noor Aini Ahmad.

Dalam pada itu, Zaliha berkata terdapat 37,058 pegawai kontrak yang berkhidmat di bawah KKM setakat 23 September lalu.

“Sebenarnya kalau kita tengok pada kekosongan perjawatan kita ada 31,459 kekosongan perjawatan dan kita ada pegawai kontrak sehingga 23 September tahun ini adalah seramai 37,058.

“Jadi kekosongan perjawatan itu sebenarnya kita telah tampung dengan pegawai-pegawai kontrak.

“Kalau kita kirakan peratusan, maksudnya 27 peratus daripada kekosongan itu telah pun kita penuhi dan itu adalah situasi pada ketika ini,” katanya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI